Wednesday 15 August 2012

89. SURAH Al-Fajr

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Demi waktu fajar.
[2]
Dan malam yang sepuluh.
[3]
Dan yang genap dan yang ganjil.
[4]
Dan malam, apabila ia berlalu.
[5]
Bukankah padanya mengandungi sumpah bagi orang yang berakal sempurna?
[6]
Tidakkah engkau memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap kaum Aad.
[7]
Iaitu penduduk Iram, pemilik tiang-tiang yang tinggi,
[8]
Yang belum pernah diciptakan seumpamanya di negeri-negeri?
[9]
Dan kaum Thamud yang memahat batu-batu di lembah?
[10]
Dan Firaun, pemilik pasak-pasak?
[11]
Yang telah bermaharajalela di dalam negeri.
[12]
Lalu banyak di dalamnya kerosakan.
[13]
Kerana itu, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab.
[14]
Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi,
[15]
Dan kebanyakan manusia apabila dia diuji Tuhannya iaitu bermurah hati dengannya dan menolongnya, dia berkata “Tuhanku telah memuliakan daku!”
[16]
Dan sebaliknya apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya, maka dia akan berkata pula “Tuhanku telah menghinakan daku!”
[17]
Ketahuilah! Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim.
[18]
Dan kamu merasa tidak terdorong untuk memberi makan orang miskin.
[19]
Dan kamu sentiasa memakan harta warisan secara rakus,
[20]
Dan kamu pula sayangkan harta dengan tamak!
[21]
Ketahuilah! Apabila bumi digoncangkan dan diratakan serata-ratanya,
[22]
Dan datanglah Tuhanmu, sedang malaikat berbaris-baris,
[23]
Dan dipersembahkan neraka Jahanam pada hari tersebut. Pada hari itu, sedarlah manusia. Tetapi bagaimanakah kesedaran itu akan berguna kepadanya?
[24]
Dia akan berkata “Alangkah baiknya kalaulah aku menyediakan untuk hidupku!”
[25]
Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti seksaanNya.
[26]
Dan tiada sesiapapun yang dapat membelenggu seperti belengguNya.
[27]
“Wahai orang yang berpuas hati,
[28]
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati redha dan diredhai,
[29]
Dan masuklah ke dalam kumpulan hamba-hambaKu.
[30]
Dan masuklah ke dalam SyurgaKu”