Tuesday 14 August 2012

48. SURAH Al-Fath

48. SURAH Al-Fath
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Sesungguhnya Kami telah memberikan kemenangan kepadamu satu kemenangan yang jelas,
[2]
Bahawa mudah-mudahan Allah mengampunkan salah silapmu yang telah lalu dan yang akan mengikuti, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, dan membimbingmu ke jalan yang lurus.
[3]
Bahawa mudah-mudahan Allah memberikanmu pertolongan dengan sehandal-handal pertolongan.
[4]
Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang beriman supaya iman mereka bertambah di samping keimanan mereka yang sedia ada. Dan Allah jualah yang menguasai tentera langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[5]
Bahawa mudah-mudahan Dia memasukkan orang-orang beriman, lelaki mahupun perempuan ke dalam Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Dengan keadaan kekal di dalamnya, dan menghapuskan daripada mereka dosa-dosa mereka. Dan yang demikian itu menurut Allah adalah kejayaan yang besar.
[6]
Dan supaya Dia menyeksa orang-orang munafik, lelaki mahupun perempuan, dan orang-orang yang menyekutukan (Allah), lelaki mahupun perempuan, yang telah menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk. Ke atas merekalah tertimpanya bala bencana. Dan Allah murka terhadap mereka dan Dia melaknat mereka dan menyediakan untuk mereka neraka Jahanam dan tempat kembali yang seburuk-buruknya.
[7]
Dan Allah jualah yang menguasai tentera langit dan bumi. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[8]
Sesungguhnya Kami telah mengutuskanmu sebagai seorang saksi, dan sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran.
[9]
Bahawa mudah-mudahan engkau akan beriman kepada Allah dan RasulNya, dan memuliakannya dan menghormatinya, dan bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[10]
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu, mereka hanya memberi pengakuan taat setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan, maka dia hanya tidak menyempurnakan terhadap dirinya sendiri. Dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah diikatnya dengan Allah, kelak Dia akan memberikan kepadanya pahala yang besar.
[11]
Orang-orang yang tinggal di belakang dari kalangan orang Arab Badwi akan berkata kepadamu “Kami telah disibukkan oleh harta benda kami dan keluarga kami. Oleh itu, pohonkanlah keampunan Allah untuk kami” Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak terdapat di dalam hatinya. Katakanlah “Oleh itu, adakah sesiapa yang berkuasa untuk kamu terhadap Allah sedikitpun sekiranya Dia menghendaki bagi kamu bahaya atau Dia menghendaki bagi kamu manfaat? Bahkan Allah Maha Mendalam pengetahuanNya mengenai apa yang kamu telah lakukan.
[12]
Dan kamu telah menyangka pula bahawa Rasulullah dan orang-orang beriman tidak akan kembali lagi kepada keluarga mereka selama-lamanya, bahawa ia telah diperelokkan di dalam hati kamu. Dan kamu telah menyangka dengan berbagai-bagai sangkaan yang buruk. Dan menjadilah kamu kaum yang binasa”
[13]
Dan sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Kami sediakan untuk orang-orang yang kafir itu api neraka yang menjulang-julang.
[14]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, Dia mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[15]
Orang-orang yang tinggal di belakang akan berkata semasa kamu pergi mendapatkan harta rampasan perang “Biarkanlah kami turut bersama kamu!” Mereka hendak mengubah Perkataan Allah. Katakanlah “Kamu tidak sesekali akan menyertai kami. Demikianlah Allah menegaskannya dari dahulu lagi” Mereka akan berkata pula “Bahkan kamu dengki kepada kami” Bahkan mereka tidak memahami melainkan sedikit.
[16]
Katakanlah kepada orang-orang yang tinggal di belakang dari kalangan Arab Badwi “Kamu akan diajak kepada suatu kaum yang memiliki kekuatan ketenteraan yang besar supaya kamu memeranginya, atau mereka berserah diri. Kemudian sekiranya kamu menuruti, Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. Dan sekiranya kamu berpaling seperti kamu berpaling sebelum ini, nescaya Dia akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya”
[17]
Tidak berdosa orang yang buta, orang yang tempang, dan orang yang sakit. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, Dia akan memasukkannya ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Dan sesiapa yang berpaling, Dia akan menyeksanya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[Tidak turut berjuang]
[18]
Demi sesungguhnya! Allah meredhai orang-orang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu di bawah pohon. Dan Dia mengetahui mengenai apa yang terdapat di dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat.
[Semasa di Hudaibiyah]
[19]
Dan juga dengan harta rampasan perang yang banyak, yang mereka akan mengambilnya. Dan Allah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[20]
Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan perang yang banyak yang kamu akan mengambilnya, dan Dia menyegerakannya untuk kamu, dan telah menahan tangan manusia daripada kamu. Dan supaya ia menjadi tanda bagi orang-orang beriman, dan juga supaya Dia membimbing kamu ke jalan yang lurus.
[21]
Dan terdapat lagi yang lain, yang kamu belum menguasainya. Sesungguhnya Allah telah memeliharanya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Harta rampasan]
[22]
Dan sekiranya orang-orang yang kafir memerangi kamu, tentulah mereka akan berpaling membelakangi. Kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau penolong.
[23]
Itulah Sunnatullah yang telah berlaku semenjak dahulu lagi. Dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan pada Sunnatullah itu.
[24]
Dan Dialah yang telah menahan tangan mereka daripada kamu, dan tangan kamu daripada mereka di kawasan Mekah, sesudah Dia memberikan kamu kemenangan atas mereka. Dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.
[25]
Mereka itu adalah orang-orang yang kafir dan menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam, dan persembahan (binatang korban) turut terhalang dari sampai ke tempatnya (tempat sembelihan). Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan terhadap orang beriman, lelaki mahupun wanita, yang kamu tidak kenali mereka (di situ), dan kamu juga akan ditimpa sebarang bahaya daripada mereka tanpa ilmu. Tetapi Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Kalaulah mereka itu terpisah, tentulah Kami menyeksa orang-orang yang kafir di kalangan mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[26]
Ketika orang-orang yang kafir menyimpan sikap menghina di dalam hati mereka iaitu sikap menghina masa Jahiliah, kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteramNya kepada RasulNya dan kepada orang-orang beriman, dan menjadikan mereka tetap berpegang kepada Kalimah Takwa, sedang mereka adalah orang-orang yang sangat berhak terhadapnya dan patut memilikinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[27]
Demi sesungguhnya! Allah akan memenuhi apa yang terlihat RasulNya (dalam mimpinya) dengan kebenaran, iaitu sesungguhnya kamu akan memasuki Masjid Al-Haraam sekiranya Allah menghendaki, dalam keadaan aman sambil mencukur rambut kepala kamu, atau memendekkannya, tanpa rasa takut. Dan Dia mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui. Dan Dia juga telah mengadakan selain itu, satu kemenangan yang dekat.
[28]
Dialah yang telah mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar, supaya Dia meninggikannya atas segala agama yang lain. Dan cukuplah Allah menjadi Saksi.
[29]
Muhammad (s.a.w) itu adalah Pesuruh Allah. Dan orang-orang yang bersamanya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, dan berkasih sayang sesama mereka. Engkau akan melihat mereka rukuk dan bersujud, sambil mengharapkan limpah kurnia daripada Tuhan mereka dan keredhaan. Tanda mereka pada muka mereka adalah kesan sujud. Demikianlah sifat mereka di dalam Kitab Taurat. Dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula adalah ibarat benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian ia bertambah kuat, dan membesar sehingga ia berdiri di atas batangnya sendiri dengan keadaan yang mengagumkan orang-orang yang menanamnya. Bahawa Dia hendak menjadikan orang-orang yang kafir merasa berang olehnya. Dan Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan berbuat baik dari kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.