Tuesday 14 August 2012

62. SURAH Al-Jumu'ah

62. SURAH Al-Jumu'ah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucapkan tasbih kepada Allah Yang Maha Menguasai, Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, membersihkan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelum itu berada dalam kesesatan yang nyata.
[3]
Dan juga (kepada) orang-orang yang lain selain mereka, yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4]
Demikianlah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[5]
Bandingan orang-orang yang diamanahkan Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakannya, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan tanda-tanda Allah. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
[6]
Katakanlah “Wahai orang-orang Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamu adalah sekutu-sekutu Allah, tidak termasuk umat-umat manusia lain, maka cita-citakanlah mati, jika betul kamu orang-orang yang benar!”
[7]
Dan mereka tidak akan mengharapkan itu selama-lamanya, disebabkan apa yang telah lakukan oleh tangan-tangan mereka. Dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim.
[8]
Katakanlah “Sesungguhnya maut yang kamu lari daripadanya itu, tetap akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan”
[9]
Wahai orang-orang beriman! Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli. Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui,
[10]
Kemudian setelah selesai bersembahyang, maka bertebaranlah di muka bumi, dan carilah dari limpah kurnia Allah, dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya.
[11]
Dan apabila mereka melihat suatu perniagaan atau suatu hiburan, mereka bersegera kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri. Katakanlah “Apa yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan daripada perniagaan itu” Dan Allah jualah sebaik-baik Pemberi.