Wednesday 15 August 2012

72. SURAH Al-Jinn

72. SURAH Al-Jinn
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Katakanlah “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar, dan mereka berkata 'Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (bacaan) yang menakjubkan!
[2]
Ia memberikan panduan ke jalan yang betul. Oleh itu, kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatupun dengan Tuhan kami.
[3]
Dan bahawa sesungguhnya Dia, Tertinggilah kebesaran Tuhan kami. Dia tidak mengambil isteri dan tidak juga anak.
[4]
Dan bahawa sesungguhnya, yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kami telah menentang Allah secara melampaui batas yang keterlaluan.
[5]
Dan bahawa sesungguhnya kami menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
[6]
Dan bahawa sesungguhnya terdapat beberapa dari kalangan manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada golongan jin, lalu mereka menjadikan mereka (golongan jin) bertambah sombong.
[7]
Dan bahawa sesungguhnya mereka (jin) juga menyangka sebagaimana kamu (manusia) menyangka, bahawa Allah tidak sekali-kali akan membangkitkan kembali sesiapapun.
[8]
Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha untuk menyentuh langit (mencari berita). Tetapi kami dapati ia penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat tegas dan panah-panah api.
[9]
Dan bahawa sesungguhnya kami (dahulu) dapat menduduki tempat-tempat di situ untuk mendengar. Dan sekarang sesiapa yang cuba mendengar, pasti mendapati baginya panah-panah api yang menunggu.
[10]
Dan bahawa sesungguhnya kami, kami tidak mengetahui apakah bala bencana akan ditimpakan kepada penduduk bumi, ataupun Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka?
[11]
Dan bahawa sesungguhnya di antara kami ada yang soleh, dan ada juga sebaliknya. Kami masing-masing menempuh jalan yang berbeza-beza.
[12]
Dan bahawa sesungguhnya kami mengetahui, bahawa kami tidak sekali-kali akan dapat menggagalkan Allah di bumi, dan kami juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri daripadaNya.
[13]
Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar Petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya. Dan sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang sebarang kerugian, dan tidak pula sebarang bebanan.
[14]
Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kami yang berserah diri, dan ada juga yang menyeleweng. Dan sesiapa yang berserah, maka mereka itu menuruti jalan yang benar,
[15]
Adapun orang-orang yang menyeleweng, maka mereka menjadi bahan bakar bagi neraka Jahanam'"
[16]
(Diwahyukan lagi) “Dan bahawa sesungguhnya! Sekiranya mereka (manusia dan jin) tetap berada di atas jalan yang lurus, nescaya Kami berikan mereka minuman, air yang melimpah.
[17]
Untuk Kami uji mereka padanya. Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, Dia akan memasukkannya ke dalam azab yang amat berat.
[18]
Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid adalah untuk Allah semata-mata. Dan janganlah kamu menyeru bersama Allah sesiapapun.
[19]
Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah berdiri beribadat kepadaNya, mereka (para jin) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”
[20]
Katakanlah “Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”
[21]
Katakanlah lagi “Sesungguhnya aku tidak memiliki sebarang mudarat dan tidak juga sebarang kebaikan bagi kamu.
[22]
Katakanlah lagi “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali sesiapapun akan dapat melindungi diriku dari Allah, dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat berlindung selain Dia,
[23]
Hanya menyampaikan daripada Allah akan perintah-perintahNya. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahanam. Kekal di dalamnya selama-lamanya”
[24]
Sehingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit pula bilangannya.
[25]
Katakanlah “Aku tidak mengetahui sama ada apa yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya ke suatu tempoh lagi.
[26]
Yang mengetahui segala yang ghaib, dan Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapapun perkara ghaibNya itu,
[27]
Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya. Dan sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakangnya, pengawal.
[28]
Agar Dia mengadakan bukti bahawa sesungguhnya mereka telah menyampaikan Perutusan-perutusan Tuhan mereka. Padahal Dia sememangnya mengetahui dengan meliputi apa yang ada pada mereka. Dan Dia menghitung tiap-tiap sesuatu, satu persatu”