Tuesday 14 August 2012

53. SURAH An-Najm

53. SURAH An-Najm
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Demi bintang ketika ia menjunam,
[2]
Sahabat kamu, tidaklah dia menyeleweng, dan tidak pula dia sesat.
[3]
Dan dia tidak memperkatakan menurut hawa nafsu.
[4]
Ia tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.
[5]
Yang diajarkan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang amat perkasa,
[6]
Lagi yang mempunyai kebijaksanaan. Kemudian dia memperlihatkan,
[7]
Sedang dia berada di ufuk yang tinggi.
[8]
Dan dia menghampiri, lalu turun,
[9]
Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi s.a.w) sekadar dua hujung busar panah, atau lebih dekat lagi.
[10]
Kemudian dia menyampaikan kepada hambaNya, apa yang dia diwahyukan.
[11]
Hatinya (Nabi Muhammad s.a.w) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.
[12]
Maka patutkah kamu membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya?
[13]
Dan demi sesungguhnya! Dia juga telah melihat sekali lagi,
[Malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal]
[14]
Di sisi Sidratul-Muntaha.
[15]
Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul-Makwa.
[16]
Ketika Sidratul Muntaha itu diliputi oleh apa yang meliputinya.
[17]
Penglihatannya tidak menyimpang, dan tidak pula ia melampaui batas.
[18]
Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebesar-besar tanda-tanda Tuhannya.
[19]
Dan adakah kamu telah melihat (sedalamnya) Al-Laat dan Al-Uzza,
[Berhala]
[20]
Dan Manaat ketiga, yang lain?
[21]
Patutkah bagi diri kamu anak lelaki, dan bagi Dia pula anak perempuan?
[22]
Ini adalah satu pembahagian yang tidak adil.
[23]
Mereka itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakan mereka. Allah tidak pernah menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Tidaklah mereka menuruti melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk daripada Tuhan mereka.
[24]
Adakah manusia tetap akan mendapat apa yang dikehendakinya?
[25]
Tetapi bagi Allah jualah yang pertama dan yang terakhir.
[26]
Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak juga mendatangkan sebarang faedah, melainkan sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhai.
[27]
Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah yang tergamak menamakan malaikat-malaikat dengan nama perempuan,
[28]
Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan pun mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu pula tidak bermanfaat sedikitpun terhadap kebenaran.
[29]
Maka berpalinglah daripada orang yang berpaling daripada Peringatan Kami, dan tidak menghendaki melainkan kehidupan dunia.
[30]
Itulah sahaja kadar pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.
[31]
Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada yang ada di bumi, bahawa Dia membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan yang sebaik-baiknya.
[32]
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, melainkan salah silap kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui keadaan kamu sejak Dia menciptakan kamu daripada tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu. Oleh itu, janganlah kamu memuji-muji diri kamu. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.
[33]
Adakah engkau melihat orang yang berpaling?
[34]
Dan dia memberikan sedikit, dan tidak suka memberi?
[35]
Adakah dia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga dia dapat melihat?
[36]
Atau belumkah dia dimaklumkan akan apa yang terkandung dalam Lembaran-lembaran Musa.
[37]
Dan juga Ibrahim yang telah mematuhinya?
[38]
Bahawa seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul bebanan orang lain.
[39]
Dan bahawa tidak ada bagi seseorang itu melainkan apa yang telah diusahakannya.
[40]
Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan dilihat.
[41]
Kemudian dia akan dibalas kerananya dengan balasan yang amat sempurna.
[42]
Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah matlamat terakhir.
[43]
Dan bahawa, Dialah yang menyebabkan ketawa, dan menyebabkan menangis.
[44]
Dan bahawa, Dialah yang mematikan dan yang menghidupkan.
[45]
Dan bahawa, Dialah yang menciptakan pasangan, lelaki dan perempuan,
[46]
Daripada air mani apabila ia dipancarkan.
[47]
Dan bahawa, Dialah yang pasti menghidupkan semula.
[48]
Dan bahawa, Dialah yang memberikan kekayaan dan kecukupan.
[49]
Dan bahawa, Dialah Tuhan Bintang Syikra.
[Atau Bintang Sirius yang menjadi sembahan orang kafir]
[50]
Dan bahawa, Dialah yang membinasakan kaum Aad yang pertama (kaum Nabi Hud),
[51]
Dan kaum Thamud (kaum Nabi Soleh). Dan tidak ada seorangpun yang Dia tinggalkan.
[52]
Dan kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.
[53]
Dan kota-kota yang ditunggang-terbalikkan itu, Dialah yang menghempasnya.
[54]
Lalu mereka diliputi oleh apa yang meliputi.
[55]
Maka yang mana lagikah di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang kamu hendak dustakan?
[56]
Ini adalah sebuah amaran di antara berbagai amaran yang telah berlalu!
[57]
Telah hampir tiba hari yang menghampiri.
[58]
Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menggelakkannya.
[59]
Dan patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini?
[60]
Dan kamu ketawa, dan tidak pula mahu menangis?
[61]
Sedang kamu menghiburkan?
[62]
Oleh itu, bersujudlah kepada Allah, dan sembahlah.