Wednesday 15 August 2012

84. SURAH Al-Insyiqaq

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Apabila langit berkecai,
[2]
Kerana patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.
[3]
Dan apabila bumi diratakan,
[4]
Dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya, dan menjadi kosong,
[5]
Kerana patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.
[6]
Wahai manusia! Sesungguhnya kamu bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya.
[7]
Kemudian sesiapa yang menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya,
[8]
Maka kelak dia akan dihisab dengan cara yang mudah,
[9]
Dan dia akan pergi kepada orang-orangnya dengan bersukacita.
[Orang-orang beriman]
[10]
Dan sesiapa yang menerima kitab amalnya dari belah belakangnya,
[11]
Maka kelak dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaan,
[12]
Dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
[13]
Sesungguhnya dia telah bersuka ria dalam kalangan orang-orangnya!
[14]
Sesungguhnya dia menyangka pula bahawa dia tidak sekali-kali akan kembali!
[15]
Benar! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat keadaannya!
[16]
Dan Aku bersumpah, demi cahaya merah pada waktu senja.
[17]
Dan malam dan apa yang diselubunginya.
[18]
Dan bulan apabila menjadi purnama.
[19]
Sesungguhnya kamu tetap akan melalui peringkat demi peringkat,
[20]
Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?
[21]
Dan apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu bersujud?
[22]
Bahkan orang-orang yang kafir mendustakannya.
[23]
Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan di dalam hatinya.
[24]
Maka  khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[25]
Melainkan orang-orang yang beriman dan berbuat baik, mereka beroleh pahala balasan yang tidak ada batasnya.