Tuesday 14 August 2012

60. SURAH Al-Mumtahana

60. SURAH Al-Mumtahana
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu sebagai sekutu-sekutu, dengan memberikan mereka kasih mesra, sedang mereka ingkar kepada apa yang telah sampai kepada kamu dari kebenaran, (dan) telah mengeluarkan Rasulullah dan kamu, disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu, sekiranya benar kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. Kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.
[2]
Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka akan menjadi musuh-musuh kamu, dan mereka akan menghulurkan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan keburukan, dan mereka suka kiranya kamu turut menjadi kafir.
[3]
Kaum keluarga kamu dan anak-anak kamu tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah untuk kamu pada hari kiamat. Dia akan mengadili di antara kamu. Dan Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.
[4]
Sesungguhnya telah ada contoh yang baik bagi kamu pada Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, semasa mereka berkata kepada kaumnya “Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu sembah yang lain dari Allah. Kami ingkar akan kamu, dan nyatalah di antara kami dengan kamu permusuhan dan kebencian selama-lamanya, sehinggalah kamu beriman kepada Allah semata-mata” Kecuali perkataan Ibrahim kepada ayahnya “Aku akan memohon keampunan untukmu. Tetapi aku tidak berkuasa untukmu terhadap apapun daripada Allah” “Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami bertaubat, dan kepada Engkaulah jua tempat kembali!
[5]
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami ujian bagi orang-orang kafir, dan ampunilah kami wahai Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
[6]
Demi sesungguhnya! Pada mereka terdapat contoh yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[7]
Semoga Allah mengadakan perasaan kasih sayang di antara kamu dengan orang-orang yang memusuhi kamu di antara mereka. Dan Allah Maha Kuasa, dan Maha pengampun, lagi Maha Penyayang.
[8]
Allah tidak melarang kamu dari orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak pula mengusir kamu dari tempat tinggal kamu, bahawa kamu berlaku baik dan berlaku adil bersama-sama mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[9]
Allah hanya melarang kamu dari orang-orang yang memerangi kamu kerana agama, dan mengusir kamu dari tempat tinggal kamu, atau membantu untuk mengusir kamu, bahawa kamu menjadikan mereka sekutu-sekutu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sekutu-sekutu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[10]
Wahai orang-orang beriman! Apabila perempuan-perempuan yang beriman datang berhijrah kepada kamu, maka periksalah mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka. Dengan itu, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka itu tidak lagi halal bagi mereka, dan mereka juga tidak halal bagi mereka itu. Dan berikanlah kepada mereka (suami-suaminya) apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi kesalahan kamu mengahwini mereka apabila kamu berikan mereka mas kahwinnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali pernikahan dengan perempuan-perempuan yang kafir, dan mintalah semula apa yang kamu telah belanjakan. Dan biarkanlah juga mereka (suami yang kafir) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkanNya di antara kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[11]
Dan sekiranya isteri-isteri kamu yang melarikan diri daripada kamu kepada orang-orang kafir, kemudian kamu mengalahkan (dan mendapat harta rampasan). Maka berikanlah kepada orang-orang yang ditinggalkan isterinya itu seperti apa yang mereka telah belanjakan. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya kamu beriman.
[12]
Wahai Nabi! Apabila perempuan-perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberikan pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatupun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anak mereka, dan mereka tidak akan menimbulkan suatu perkara dusta yang mereka ada-adakannya di antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam kebenaran, maka terimalah pengakuan taat setia mereka itu dan pohonkanlah keampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[13]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu jadikan sebagai sekutu-sekutu mana-mana kaum yang telah dilaknat Allah. Sesungguhnya mereka telah berputus asa dari akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir dari ahli kubur.