Sunday 12 August 2012

42. SURAH Asy-Syuraa

42. SURAH Asy-Syuraa
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Haa, Miim.
[2]
Ain, Siin, Qaaf.
[3]
Demikianlah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana mewahyukan kepadamu dan kepada orang yang terdahulu daripadamu.
[4]
Dialah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Dialah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[5]
Alam langit nyaris-nyaris pecah dari belah atasnya, disebabkan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya dan memohon keampunan bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[6]
Dan orang-orang yang mengambil yang lain dari Allah sebagai pelindung, Allah sentiasa mengawasi mereka. Dan engkau bukanlah seorang pengurus terhadap mereka.
[7]
Dan demikianlah Kami mewahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberikan amaran kepada (penduduk) ibu kota dan sesiapa yang ada di sekitarnya, dan memberi peringatan mengenai hari perhimpunan, yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan ke Syurga dan segolongan lagi ke neraka.
[8]
Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat. Namun Dia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan tidak juga pertolongan.
[9]
Tidaklah wajar mereka menjadikan sesuatu yang lain daripadaNya sebagai pelindung-pelindung, kerana Allah, Dialah Pelindung, dan Dialah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati. Dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[10]
Dan apa jua perkara yang kamu berselisihan padanya, maka keputusannya terserah Allah. Itulah Allah Tuhanku. KepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku bertaubat”
[11]
Yang menciptakan langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu daripada diri kamu, pasangan-pasangan, dan juga dari kalangan binatang-binatang ternak, pasangan-pasangan. Dengan jalan itu, dikembangkanNya kamu semua. Tiada suatupun yang serupa denganNya dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[12]
Dialah yang menguasai kunci-kunci langit dan bumi. Dia melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[13]
Dia memerintahkan kepada kamu mengenai agama, seperti apa yang telah diperintahkanNya kepada Nuh, dan seperti apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan juga seperti apa yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim, dan Musa, dan Isa, iaitu “Tegakkanlah agama, dan janganlah berpecah-belah pada dasarnya” Sangat berat bagi orang-orang yang menyekutukan (Allah), apa yang engkau serukan mereka kepadanya. Allah memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk diriNya, dan memberikan petunjuk kepada diriNya, sesiapa yang bertaubat.
[14]
Dan mereka tidak berpecah-belah melainkan setelah sampai pengetahuan kepada mereka, semata-mata kerana hasad dengki sesama mereka. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu hingga ke suatu masa tertentu, tentulah diselesaikan di antara mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kepada mereka Kitab sesudah mereka, berada dalam keraguan yang menggelisahkan terhadapnya.
[Al-Quran]
[15]
Oleh kerana itu, maka ajaklah dan berdiri teguhlah sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah menuruti kehendak hawa nafsu mereka. Sebaliknya katakanlah “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jua Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah wajar adanya sebarang pertengkaran di antara kami dengan kamu. Allah akan menghimpunkan kita bersama-sama, dan kepadaNyalah tempat kembali”
[16]
Dan orang-orang yang berhujah mengenai Allah sesudah memberikan respon kepadaNya, bantahan mereka sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula, ditimpakan laknat dan mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.
[17]
Allah jua yang menurunkan Kitab dengan kebenaran, dan Neraca (keadilan). Dan tahukah kamu? Boleh jadi Saat itu telah hampir.
[18]
Orang-orang yang tidak percaya kepadanya meminta agar disegerakan kedatangannya, padahal orang-orang yang beriman merasa ngeri kepadanya dan mengetahui bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang mempertikaikan mengenai Saat, berada dalam kesesatan yang jauh.
[19]
Allah Maha Lembut kepada hamba-hambaNya. Dia memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
[20]
Sesiapa yang menghendaki hasil tuaian hari akhirat, Kami akan tambahkan lagi hasil tuaiannya itu. Dan sesiapa yang menghendaki hasil tuaian di dunia semata-mata, Kami berikan kepadanya daripadanya, dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
[21]
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang memerintahkan peraturan-peraturan agama yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus, tentulah akan diadili di antara mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
Engkau akan melihat orang-orang yang zalim itu merasa sangat takut disebabkan apa yang mereka telah lakukan, sedang ia tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman dan berbuat baik akan berada di dalam Taman-taman. Mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka. Yang demikian itu adalah limpah kurnia yang besar.
[23]
Itulah yang dikhabarkan oleh Allah bagi menggembirakan hamba-hambaNya yang beriman dan berbuat baik. Katakanlah “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya melainkan rasa belas kasih dalam kalangan keluarga” Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan, Kami tambahkan lagi kebaikan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.
[24]
Dan mereka mengatakan “Dia telah mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah” Bahkan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menutup hatimu. Dan sememangnya Allah tetap akan menghapuskan perkara yang salah, dan menetapkan kebenaran dengan kalimah-kalimahNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala isi hati.
[25]
Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan memaafkan kejahatan-kejahatan. Dan Dia mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
[26]
Dan Dialah yang menjawab (doa permohonan) mereka yang beriman dan berbuat baik, dan menambahkan mereka dari limpah kurniaNya. Dan orang-orang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.
[27]
Dan kalaulah Allah melapangkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan memberontak di muka bumi. Akan tetapi Dia menurunkan menurut kadar tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan keadaan hambaNya, lagi Maha Melihat.
[28]
Dan Dialah jua yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan menyebarkan rahmatNya. Dan Dialah Yang Mengawal, lagi Yang Maha Terpuji.
[29]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah penciptaan langit dan bumi dan segala makhluk melata yang disebarkanNya pada keduanya. Dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki.
[30]
Dan apa jua musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri. Namun Dia memaafkan banyak.
[31]
Dan kamu tidak akan terlepas di bumi. Dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong.
[32]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah kapal-kapal di lautan laksana gunung.
[33]
Sekiranya Dia menghendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka menjadilah ia terhenti di atas permukaan. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sentiasa bersabar, lagi sentiasa bersyukur.
[34]
Atau Dia binasakan saja ia disebabkan apa yang dilakukan oleh orang-orangnya. Namun Dia memaafkan banyak.
[35]
Dan supaya orang-orang yang mempertikaikan tanda-tanda Kami mengetahui, bahawa tiada bagi mereka tempat berlindung.
[36]
Dan apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia, sebaliknya apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan berserah kepada Tuhannya.
[37]
Dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji. Dan apabila mereka marah, mereka memaafkan.
[38]
Dan juga orang-orang yang menyahut seruan Tuhannya dan mendirikan sembahyang. Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. Dan mereka mendermakan pula sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.
[39]
Dan orang-orang yang apabila diperlakukan secara zalim, mereka bertindak membela diri.
[40]
Balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal. Namun sesiapa yang memaafkan dan berdamai, maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.
[41]
Dan sesungguhnya orang yang bertindak mempertahankan diri setelah dia dizalimi, maka tidak ada sebarang jalan untuk menyalahkan mereka.
[42]
Sesungguhnya jalan hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan memberontak di muka bumi tanpa sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[43]
Namun barang siapa yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara-perkara yang dititikberatkan.
[44]
Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesiapapun yang dapat melindunginya sesudahNya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim itu semasa mereka menyaksikan azab berkata “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali?"
[45]
Dan engkau akan melihat juga mereka dihadapkan kepadaNya dalam keadaan tunduk disebabkan kehinaan dengan pandangan yang lesu. Dan orang-orang yang beriman akan berkata “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah mereka yang kehilangan dirinya sendiri serta keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan berada dalam azab seksa yang kekal”
[46]
Dan tiadalah bagi mereka sebarang pelindung yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka selain Allah. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak ada baginya sebarang jalan.
[47]
Sahutlah seruan Tuhan kamu, sebelum datang daripada Allah hari yang tidak dapat ditolak. Pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung, dan tidak pula ada bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan.
[48]
Dan jika mereka berpaling, maka Kami tidak mengutuskanmu sebagai penjaga mereka. Tidaklah ke atasmu melainkan menyampaikan. Dan sesungguhnya apabila Kami memberikan manusia merasai suatu rahmat daripada Kami, dia bergembira dengannya. Dan jika mereka ditimpakan suatu kesusahan disebabkan perbuatan tangan-tangan mereka sendiri, maka sesungguhnya manusia itu sangatlah tidak bersyukur.
[49]
Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya. Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
[50]
Atau Dia mengurniakan kepada mereka kedua-duanya, dan Dialah juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[51]
Dan tidaklah layak bagi seorang manusia bahawa Allah berkata-kata kepadanya melainkan dengan jalan wahyu (ilham atau mimpi), atau dari balik tabir (mendengar suara sahaja seperti Nabi Musa), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu dia mewahyukan dengan izinNya apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi, lagi Maha Bijaksana.
[52]
Dan demikianlah Kami menurunkan kepadamu Wahyu dengan perintah Kami. Engkau tidak pernah mengetahui, apakah Kitab itu dan tidak juga iman. Akan tetapi Kami jadikan ia sebagai cahaya. Kami berikan petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di kalangan hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau adalah membimbing ke jalan yang lurus,
[53]
Iaitu jalan Allah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.