Wednesday 15 August 2012

73. SURAH Al-Muzzammil

73. SURAH Al-Muzzammil
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai orang yang berselimut!
[2]
Berdirilah pada waktu malam (solat malam), melainkan sedikit (untuk masa tidur),
[3]
Iaitu separuh daripadanya, atau kurang sedikit daripada itu,
[4]
Atau tambahkanlah padanya. Dan bacalah Al-Quran itu dengan Tartil.
[5]
Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu Perkataan yang berat.
[6]
Sesungguhnya bangun pada waktu malam itu lebih kuat, dan lebih berkesan bacaannya.
[7]
Sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang.
[8]
Dan ingatlah akan nama Tuhanmu, dan tumpukanlah dirimu kepadaNya dengan sepenuh tumpuan.
[9]
Tuhan timur dan barat. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dan jadikanlah Dia sebagai Pentadbir segala urusan.
[10]
Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka katakan, dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.
[11]
Dan biarkanlah Aku sahaja bersama orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berikanlah tempoh kepada mereka sedikit masa lagi.
[12]
Sesungguhnya di sisi Kami terdapat belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,
[13]
Dan makanan yang mencekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[14]
Hari bumi dan gunung-ganang bergoncangan, dan menjadilah gunung-ganang tersebut timbunan pasir yang bertaburan.
[15]
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada kamu seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu, sebagaimana Kami telah mengutuskan kepada Firaun seorang Rasul.
[16]
Kemudian Firaun menderhakai Rasul tersebut, maka Kami menyeksanya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.
[17]
Dan bagaimanakah pula kamu dapat menjaga diri kamu sekiranya kamu ingkar akan hari yang menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?
[18]
Langit terbelah pada hari itu. JanjiNya pasti terlaksana.
[19]
Sesungguhnya ini adalah sebuah Peringatan. Dan sesiapa yang menghendaki, sudah tentu mengambil jalan kepada Tuhannya.
[20]
Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya engkau telah berdiri selama kurang daripada dua pertiga malam, dan satu perduanya, dan satu pertiganya. Begitu juga segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu. Padahal Allah jualah yang menentukan malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengiranya, maka Dia memberikan keringanan kepada kamu. Oleh itu, bacalah apa yang mudah dari Al-Quran. Dia juga mengetahui bahawa ada di antara kamu orang yang sakit. Dan yang lainnya bermusafir di muka bumi untuk mencari dari limpah kurnia Allah. Dan yang lainnya lagi berjuang pada jalan Allah. Oleh itu, bacalah apa yang mudah daripadanya. Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat. Dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapatinya bersama Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan sebesar-besarnya. Dan pohonkanlah keampunan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.