Wednesday 15 August 2012

85. SURAH Al-Buruj

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Demi langit yang mempunyai buruj-buruj.
[2]
Dan hari yang dijanjikan.
[3]
Dan yang menyaksikan, dan yang disaksikan.
[4]
Kehancuranlah ke atas kaum yang menggali parit,
[5]
(Parit) api yang penuh dengan bahan bakar,
[6]
Ketika mereka duduk di sekelilingnya,
[7]
Sambil mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman.
[8]
Dan mereka tidak menyeksa orang-orang itu melainkan hanya kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!
[9]
Yang menguasai langit dan bumi. Dan Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[10]
Sesungguhnya orang-orang yang menganiaya orang-orang beriman sama ada lelaki mahupun perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab neraka Jahanam, dan bagi mereka azab api yang kuat membakar.
[11]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berbuat baik, mereka akan beroleh Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Itulah kejayaan yang besar.
[12]
Sesungguhnya Cengkaman Tuhanmu amatlah kuat.
[13]
Sesungguhnya Dia, Dialah yang memulakan penciptaan, dan yang mengulanginya.
[14]
Dan Dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.
[15]
Tuhan yang mempunyai Arasy, lagi Maha Mulia,
[16]
Yang melakukan apa jua yang dikehendakiNya.
[17]
Sudahkah sampai kepadamu kisah bala tentera?
[18]
Firaun, dan Thamud.
[19]
Bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam pendustaan.
[20]
Sedang Allah dari belakang mereka, mengepung!
[21]
Bahkan ia adalah Al-Quran (bacaan) yang tinggi kemuliaannya.
[22]
Pada Lauh Mahfuz yang terjaga.