Tuesday 14 August 2012

65. SURAH At-Tallaq

65. SURAH At-Tallaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah tersebut, dan bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan tidaklah patut mereka keluar, kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Itulah batas-batas Allah. Dan sesiapa yang melanggar batas-batas Allah, maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya. Kamu tidak mengetahui kemungkinan setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.
[2]
Kemudian apabila mereka telah mencapai tempohnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang baik, atau lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan tegakkanlah persaksian itu kerana Allah. Demikianlah yang diajarkan dengannya bagi sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar,
[3]
Dan menyediakan baginya dari jalan yang tidak terlintas pada fikirannya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka cukuplah Dia baginya. Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan urusan yang telah ditentukanNya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan untuk tiap-tiap sesuatu, kadarnya.
[4]
Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang terhenti haidnya, sekiranya kamu ragu maka idahnya ialah tiga bulan. Dan demikian juga bagi mereka yang tidak berhaid. Bagi perempuan-perempuan mengandung, tempohnya sehingga mereka melahirkan kandungannya. Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia memudahkan baginya urusannya.
[5]
Demikianlah Perintah Allah yang diturunkanNya kepada kamu. Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan melipatgandakan pahala balasannya.
[6]
Tempatkanlah mereka (isteri-isteri yang menjalani idahnya) itu di tempat tinggal kamu sesuai dengan kemampuan kamu. Dan janganlah memudaratkan mereka dengan tujuan hendak memberikan tekanan kepada mereka. Dan jika mereka mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan kandungannya. Kemudian jika mereka menyusukan untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya. Dan berundinglah di antara kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu menemui kesulitan, maka bolehlah yang lain menyusukannya.
[7]
Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Dan sesiapa yang disempitkan ke atasnya rezekinya, maka hendaklah dia memberikan dari apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati seseorang melainkan dengan apa yang diberikanNya kepadanya. Allah akan memberi kesenangan sesudah kesusahan.
[8]
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang (penduduknya) menderhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya. Maka Kami membuat perhitungan dengan mereka dengan perhitungan yang ketat, dan Kami seksanya dengan azab yang dahsyat.
[9]
Kemudian mereka merasai akibat dari perbuatannya sendiri, dan akibat perbuatannya itu adalah suatu kerugian.
[10]
Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah wahai orang yang berakal sempurna, orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan sebuah Perutusan kepada kamu.
[11]
Seorang Rasul yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang jelas, supaya Dia mengeluarkan orang-orang beriman dan berbuat baik daripada kegelapan kepada cahaya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan berbuat baik, nescaya Dia akan memasukkannya ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.
[12]
Allah jua yang menciptakan tujuh petala langit dan seperti itulah juga bumi. Diturunkan Perintah di antara keduanya supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa ilmu Allah meliputi akan tiap-tiap sesuatu.