Tuesday 14 August 2012

66. SURAH At-Tahrim

66. SURAH At-Tahrim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, bagi menyenangkan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[2]
Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu melepaskan diri dari sumpah kamu itu (dengan cara membayar kaffarah). Dan Allah adalah Pelindung kamu, dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[3]
Dan ketika Nabi mengadu suatu perkara kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian ketika dia (isteri) menceritakan mengenainya (kepada madunya). Maka Allah menyatakannya kepadanya (Nabi), lalu dia menerangkan sebahagian dan tidak menerangkan sebahagian. Setelah dia menceritakan mengenainya kepadanya, dia bertanya “Siapakah yang menceritakan ini kepadamu?” Dia menjawab “Aku diceritakan oleh Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya”
[4]
Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu telah condong (ke arah kebaikan). Dan jika kamu berdua saling bantu-membantu terhadapnya, maka sesungguhnya Allah, Dialah Pembelanya. Dan Jibril dan orang-orang beriman, dan para malaikat sesudah itu adalah penolong.
[5]
Boleh jadi, sekiranya dia menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, sama ada yang janda mahupun anak dara.
[6]
Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu-batu. Ia dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang kasar. Mereka tidak menderhakai Allah dalam apa jua yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan.
[7]
“Wahai orang-orang yang kafir! Janganlah kamu menyatakan sebarang alasan pada hari ini. Kamu hanya dibalas dengan apa yang kamu telah kerjakan”
[8]
Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan daripada kamu kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Hari Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang beriman yang bersama-samanya. Sedang cahaya mereka, memancar di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka. Mereka berkata “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
[9]
Wahai Nabi! Perangilah orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Dan tempat mereka itu ialah neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[10]
Allah mengemukakan satu contoh perbandingan bagi orang-orang yang kafir, iaitu kisah isteri Nuh dan isteri Lut. Mereka berdua telah berada di bawah jagaan dua orang dari kalangan hamba-hamba Kami yang soleh. Namun mereka berlaku khianat kepada mereka (suami). Maka mereka (suami) tidak berfaedah sedikitpun kepada mereka berdua terhadap Allah, dan dikatakan “Masuklah ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk”
[11]
Dan Allah mengemukakan satu contoh perbandingan kepada orang-orang yang beriman, iaitu kisah isteri Firaun ketika dia berkata “Wahai Tuhanku! Binakanlah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”
[12]
Dan juga Maryam binti Imran yang telah memelihara kesuciannya. Lalu Kami tiupkan ke dalamnya roh dari Kami. Dan dia beriman kepada Kalimah-kalimah Tuhannya dan Kitab-kitabNya. Dan dia termasuk orang-orang yang tetap taat.