Tuesday 14 August 2012

54. SURAH Al-Qamar

54. SURAH Al-Qamar
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Telah hampir Saat, dan terbelahlah bulan.
[Hari kiamat]
[2]
Dan sekiranya mereka melihat suatu tanda, mereka berpaling sambil berkata “Sihir yang terus-menerus”
[3]
Dan mereka mendustakan dan menuruti hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara telah ada ketetapannya.
[4]
Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka sebahagian dari maklumat, yang di dalamnya mengandungi amaran.
[5]
Pengajaran yang cukup sempurna. Namun, segala peringatan tidak juga berguna.
[6]
Oleh itu, berpalinglah daripada mereka. Hari penyeru menyeru kepada perkara yang dahsyat.
[7]
Dengan keadaan menundukkan pandangannya. Mereka akan keluar dari kubur masing-masing seolah-olah mereka itu belalang yang terbang bertebaran.
[8]
Dengan segera menuju kepada penyeru tersebut. Orang-orang yang kafir berkata “Hari ini adalah hari yang amat sukar!
[9]
Sebelum mereka, kaum Nuh telah mendustakan. Iaitu mereka mendustakan hamba Kami sambil berkata “Seorang yang gila” Dan dia telah disisihkan.
[10]
Kemudian dia berdoa kepada Tuhannya “Aku dikalahkan, oleh itu tolonglah!
[11]
Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang mencurah-curah turun.
[12]
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air berkenaan untuk suatu urusan yang telah ditetapkan.
[13]
Dan Kami membawanya di atas apa yang dibina daripada kepingan papan-papan dan paku-paku.
[14]
Yang belayar di hadapan Mata Kami. Sebagai balasan bagi orang-orang yang ingkar!
[15]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan ia sebagai satu tanda, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran?
[16]
Dan perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.
[17]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Quran untuk beringat, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran?
[18]
Kaum Aad telah mendustakan. Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
[19]
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut kencang, pada hari sial yang terus-menerus.
[20]
Yang menumbangkan manusia bergelimpangan, seolah-olah mereka itu batang-batang pohon kurma yang tercabut.
[21]
Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
[22]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Quran untuk beringat, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran?
[23]
Kaum Thamud telah mendustakan peringatan.
[24]
Dan berkata “Patutkah kita menuruti manusia dari kalangan kita, lagi bersendirian? Jika demikian, sesungguhnya kita akan berada dalam kesesatan lagi gila!
[25]
Tidaklah patut Peringatan itu diturunkan kepadanya dari kalangan kita. Bahkan dia adalah seorang pendusta, lagi biadab.
[26]
Mereka akan mengetahui kelak, siapakah pendusta lagi biadab itu.
[27]
"Sesungguhnya Kami akan menghantarkan unta betina sebagai satu ujian untuk mereka. Oleh itu, perhatikanlah mereka dan bersabarlah,
[28]
Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa air itu harus dikongsi di antara mereka. Tiap-tiap yang hadir berhak meminumnya"
[29]
Kemudian mereka memanggil rakan mereka, lalu dia mengambil dan menyembelih.
[30]
Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
[31]
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka satu pekikan yang dahsyat, maka menjadilah mereka seumpama ranting-ranting kering, (yang digunakan) pembina pagar.
[32]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Quran untuk beringat, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran?
[33]
Kaum Lut telah mendustakan peringatan.
[34]
Sesungguhnya Kami menghantarkan kepada mereka ribut batu. Melainkan keluarga Lut, Kami selamatkan mereka pada waktu subuh,
[35]
Sebagai limpah kurnia daripada Kami. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang bersyukur.
[36]
Dan demi sesungguhnya! Dia telah memberikan peringatan kepada mereka mengenai azab seksa Kami. Namun mereka tetap jua mendustakan peringatan-peringatan tersebut.
[37]
Dan demi sesungguhnya! Mereka telah mendesaknya mengenai tetamunya, lalu Kami butakan mata mereka “Dan rasakanlah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!”
[38]
Dan demi sesungguhnya! Pada awal pagi, mereka benar-benar ditimpa azab yang kekal.
[39]
Oleh itu, rasakanlah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
[40]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Quran untuk beringat, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran?
[41]
Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi pemberi amaran.
[42]
Mereka mendustakan tanda-tanda Kami semuanya sekali, lalu Kami seksa mereka dengan seksaan Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
[43]
Adakah orang-orang kafir kamu, lebih baik daripada orang-orang itu? Atau adakah bagi kamu pengecualian terhadap Kitab-kitab Suci?
[44]
Dan mereka berkata “Kami satu kaum yang bersatu, dan saling tolong-menolong!
[45]
Yang bersatu itu kelak pasti akan dikalahkan, dan mereka akan berpaling lari.
[46]
Bahkan Saat adalah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan Saat itu amatlah dahsyat dan amatlah pahit.
[47]
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, yang berada dalam kesesatan, dan kegilaan.
[48]
Hari mereka diseret ke dalam Neraka di atas muka mereka “Rasakanlah sentuhan Neraka Jahanam”
[49]
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut ukuran.
[50]
Dan perintah Kami hanyalah satu, bagaikan satu kelipan mata.
[51]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang serupa kamu. Maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pengajaran?
[52]
Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, tercatat dalam Kitab amal.
[53]
Dan tiap-tiap yang kecil mahupun yang besar tetap tercatat.
[54]
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan di dalam taman-taman dan sungai-sungai,
[55]
Di tempat yang sungguh mulia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.