Thursday 26 July 2012

4. SURAH An-Nisaa

4. SURAH An-Nisaa
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kamu.
[2]
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk. Dan janganlah kamu memakan harta mereka (dengan cara menghimpunkannya) dengan harta kamu. Sesungguhnya itu adalah dosa yang besar.
[3]
Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil maka seorang sahaja, atau dengan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu (hamba-hamba perempuan). Yang demikian itu lebih dekat supaya kamu tidak berlaku zalim.
[4]
Dan berikanlah mas kahwin kepada perempuan sebagai pemberian yang wajib. Kemudian sekiranya mereka dengan sukarela memberikan kepada kamu sebahagian daripadanya, maka makanlah pemberian itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
[5]
Dan janganlah kamu berikan orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu yang dijadikan oleh Allah sebagai asas pembangunan kehidupan kamu. Tetapi berikanlah mereka dengannya belanja dan pakaian, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[6]
Dan ujilah anak-anak yatim itu sehingga mereka cukup umur. Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka kecerdikan dan kebolehan, maka serahkanlah mereka hartanya. Dan janganlah kamu memakannya secara melampaui batas dan secara terburu-buru sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa yang kaya, maka hendaklah dia menahan diri. Dan sesiapa yang miskin, maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang patut. Kemudian apabila kamu menyerahkan mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas.
[7]
Orang-orang lelaki ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan keluarga. Dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan keluarga, sama ada sedikit atau banyak mengikut bahagian yang telah ditetapkan.
[8]
Dan apabila kaum keluarga (yang tidak berhak mendapat harta pusaka), anak-anak yatim, dan orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) tersebut, maka berikanlah mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[9]
Dan hendaklah takut orang-orang yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak daif di belakang mereka, mereka juga merasa bimbang terhadap (anak-anak) mereka. Oleh itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar.
[10]
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanya menelan api ke dalam perut mereka. Dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
[11]
Allah perintahkan kamu mengenai anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak itu semuanya perempuan yang lebih dari dua, maka bahagian mereka dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya satu perdua harta tersebut. Dan bagi ibu bapa, tiap-tiap seorang dari keduanya, satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya satu perenam. (Pembahagian tersebut) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dilangsaikan hutangnya. Ibu bapa dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapakah di antaranya yang lebih dekat dan banyak manfaatnya kepada kamu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[12]
Dan bagi kamu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu beroleh satu perempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dilangsaikan hutangnya. Dan bagi mereka pula satu perempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi jika kamu mempunyai anak, maka bahagian mereka satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dilangsaikan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, yang tidak meninggalkan anak atau ayah, tetapi ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka tiap-tiap seorang dari keduanya satu perenam. Kalau pula mereka lebih dari seorang, maka mereka berkongsi satu pertiga (secara sama banyak lelaki dan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan si mati, dan sesudah dilangsaikan hutangnya tanpa menyusahkan. Ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[13]
Inilah batas-batas Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, Dia akan memasukkannya ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kejayaan yang amat besar.
[14]
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, Dia akan memasukkannya ke dalam api neraka. Kekal dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghinakan.
[15]
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di kalangan kamu yang menjadi saksi perbuatan mereka. Kemudian sekiranya keterangan-keterangan mereka (saksi) mengesahkan perbuatan itu, maka kurunglah mereka di dalam rumah sehingga datang kepada mereka kematian, atau sehingga Allah mengadakan bagi mereka jalan.
[16]
Dan dua orang di kalangan kamu yang melakukan perbuatan itu, maka hendaklah kamu menyakiti keduanya. Kemudian sekiranya mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.
[17]
Taubat yang diterima oleh Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka taubat mereka itulah yang diterima oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[18]
Dan tidak berguna taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, sehingga apabila salah seorang dari mereka dihampiri mati, berkatalah dia “Sesungguhnya aku telah bertaubat kini” Dan orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir, orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[19]
Wahai orang-orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksa, dan janganlah kamu menyakiti mereka disebabkan kamu hendak mengambil semula sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik. Kemudian sekiranya kamu benci mereka, maka boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
[20]
Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama) sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripadanya. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan dosa yang nyata?
[21]
Dan bagaimanakah kamu tergamak mengambilnya semula padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula telah mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
[Ikatan pernikahan]
[22]
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan yang telah diperisterikan oleh ayah kamu melainkan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya perbuatan demikian adalah satu perkara keji dan dibenci, dan menjadi seburuk-buruk jalan.
[23]
Diharamkan kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik kamu, adik-beradik ayah kamu, adik-beradik ibu kamu, anak-anak adik-beradik kamu lelaki dan perempuan, ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara susuan kamu, ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri. Tetapi jika kamu belum campuri mereka (dan telah menceraikan mereka), maka tidaklah salah bagi kamu. Dan juga (bekas) isteri anak-anak kamu yang berasal daripada benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali, melainkan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[24]
Dan juga mereka yang bersuami, melainkan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu (hamba sahaya). Suatu ketetapan hukum Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu (perempuan-perempuan) selain itu, sekiranya kamu berusaha dengan hartamu untuk menikahinya, bukan untuk berzina. Dan kerana kebaikan yang telah kamu peroleh daripada mereka, berikanlah kepada mereka mas kahwinnya sebagai suatu ketetapan. Dan tidaklah kamu berdosa mengenai suatu persetujuan kamu (suami isteri) telah saling merelakan, sesudah ditetapkan mas kahwin (iaitu menambah, mengurangi, atau tidak membayar sama sekali apa yang telah ditetapkan). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[25]
Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik lagi beriman, maka bolehlah dari apa yang dimiliki oleh tangan kananmu (hamba-hamba sahaya) dari perempuan yang beriman. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu. Kamu berasal sama (daripada Adam). Oleh itu, kahwinilah mereka dengan izin walinya dan berikanlah mas kahwinnya menurut yang patut. (Sedang mereka perempuan-perempuan) yang memelihara diri, bukan penzina, dan bukan pula yang mengambil teman rahsia. Kemudian setelah mereka berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh daripada seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan merdeka. Yang demikian itu bagi orang-orang yang bimbang melakukan dosa di antara kamu. Dan sabarnya kamu itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[26]
Allah hendak menerangkan dan menunjukkan kepada kamu jalan-jalan peraturan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[27]
Dan Allah hendak menerima taubat kamu, sedang orang-orang yang menuruti keinginan hawa nafsu, hendak mendorong kamu berpaling sejauh-jauhnya.
[28]
Allah hendak memberikan keringanan kepada kamu, kerana manusia diciptakan lemah.
[29]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.
[30]
Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan melanggar hukum dan berlaku zalim, Kami akan memasukkannya ke dalam api neraka. Dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.
[31]
Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia.
[32]
Dan janganlah kamu cemburu terhadap limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[33]
Dan bagi semua, Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalan ibu bapa dan keluarga terdekat, dan juga mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka. Kemudian berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[34]
Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana mereka telah memberikan nafkah dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat, dan yang memelihara ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah. Dan mereka (perempuan-perempuan) yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (kalau mereka berdegil) pulaukanlah mereka dari tempat tidur, dan (kalau mereka masih berdegil) pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[35]
Dan jika kamu bimbang perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri), maka lantiklah orang tengah, seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Kalaulah kedua-duanya itu bertujuan hendak berdamai, nescaya Allah menjadikan keduanya berpakat semula. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
[36]
Dan beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apapun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan apa yang dimiliki oleh tangan kanan kamu (hamba sahaya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, lagi membangga-banggakan diri.
[37]
Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil dan menyembunyikan apa-apa yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Maka Kami telah sediakan untuk orang-orang yang kafir itu azab seksa yang amat menghinakan.
[38]
Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan mereka pula tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang mengambil syaitan sebagai temannya, maka seburuk-buruk teman ialah syaitan.
[39]
Dan apakah yang akan menimpa mereka sekiranya mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka? Dan Allah sentiasa Mengetahui keadaan mereka.
[40]
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya sekalipun seberat zarah. Dan kalaulah ada kebaikan (seberat itu), nescaya Dia akan menggandakannya dan akan memberi dari sisiNya, pahala yang amat besar.
[41]
Dan bagaimanakah, apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (Rasul mereka), dan Kami datangkan juga engkau sebagai saksi terhadap (mereka) ini?
[42]
Pada hari itu, orang-orang yang kafir dan menderhakai rasul, berharap benar sekiranya mereka diratakan ke dalam tanah. Dan mereka tidak dapat menyembunyikan sesuatu penyataan apapun daripada Allah.
[43]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang ketika kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub, kecuali hendak melintas sahaja, sehingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat membuang air, atau kamu menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapatkan air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[44]
Tidakkah engkau memerhatikan orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka lebih suka memilih kesesatan, dan menghendaki pula supaya kamu tersesat.
[45]
Dan Allah lebih mengetahui berkenaan musuh-musuh kamu. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong.
[46]
Di antara orang-orang Yahudi, ada yang mengubah perkataan-perkataan (Kalamullah) dari tempatnya, dan mereka berkata “Kami dengar” “Kami tidak akan menuruti” “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk” dan “Raaeina” (Mereka itu) hanya memutarbelitkan lidah mereka dan mencela agama. Dan kalaulah mereka berkata “Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah dan berikanlah perhatian kepada kami” Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman melainkan sedikit sahaja.
[47]
Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, sebelum Kami hapuskan bentuk muka kamu, dan putar ke belakang, atau Kami melaknat mereka sebagaimana Kami telah melaknat orang-orang yang melanggar larangan pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah itu pasti berlaku.
[48]
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya, tetapi Dia akan mengampunkan dosa lain selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.
[49]
Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang menganggap dirinya suci? Padahal Allah, Dialah jua yang berhak menyucikan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.
[50]
Lihatlah betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah? Dan cukuplah ia menjadi dosa yang terang.
[51]
Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab? Mereka percaya kepada benda-benda tahyul, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir bahawa inilah yang lebih betul haluannya berbanding orang-orang beriman.
[52]
Mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah. Dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapapun yang boleh menolongnya.
[53]
Patutkah ada bagi mereka suatu bahagian dari kuasa memerintah? Dan sudah tentulah mereka tidak akan memberi sedikitpun kebaikan kepada manusia.
[54]
Atau patutkah mereka dengki kepada manusia disebabkan apa yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Demi sesungguhnya Kami telah berikan kepada keluarga Ibrahim, Kitab dan hikmat, dan memberikan kepada mereka kerajaan yang besar.
[55]
Kemudian di antara mereka ada yang beriman kepadanya, dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya. Dan cukuplah dengan neraka Jahannam yang sentiasa menyala-nyala itu.
[56]
Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kepada tanda-tanda Kami, Kami akan bakar mereka di dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka hangus, Kami gantikan kulit yang lain agar mereka dapat merasai azab sengsara itu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[57]
Dan orang-orang yang beriman dan berbuat baik, Kami akan masukkan mereka ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh di dalamnya pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci, dan Kami masukkan pula mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman.
[58]
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu menghakimi di antara manusia, kamu menghakimi dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[59]
Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantahan dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) RasulNya, sekiranya kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik, dan lebih elok kesudahannya.
[60]
Tidakkah engkau melihat orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu, dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka lebih suka berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya mengingkarinya. Dan syaitan pula menghendaki untuk menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
[61]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Marilah kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada Rasulullah” Nescaya engkau akan melihat orang-orang munafik itu berpaling daripadamu, tidak menyukai.
[62]
Dan bagaimanakah pula halnya apabila mereka ditimpa suatu kemalangan disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian”
[63]
Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada di dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, dan katakanlah kepada mereka kata-kata yang menusuk hati mereka.
[64]
Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan supaya dia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu dan memohon keampunan kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon keampunan untuk mereka, tentulah mereka akan mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.
[65]
Dan demi Tuhanmu! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak merasakan di dalam hati mereka suatu keberatan dari apa yang telah engkau putuskan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
[66]
Dan kalaulah Kami wajibkan kepada mereka “Bunuhlah dirimu, atau keluarlah dari tempat tinggalmu” nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Demi sesungguhnya, kalaulah mereka amalkan nasihat pengajaran yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan.
[67]
Dan jika demikian, tentulah Kami akan berikan kepada mereka dari sisi Kami pahala balasan yang amat besar.
[68]
Dan tentulah Kami akan pimpin mereka ke jalan yang lurus.
[69]
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan para pencinta kebenaran, orang-orang yang Syahid, dan orang-orang yang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
[70]
Yang demikian itu adalah limpah kurnia daripada Allah. Dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui.
[71]
Wahai orang-orang beriman, bersiap-siagalah dan berjaga-jagalah, kemudian maralah sepuak demi sepuak, atau maralah serentak beramai-ramai.
[72]
Dan sesungguhnya ada di antara kamu, orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya. Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan, dia akan berkata “Demi sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut bersama-sama mereka”
[73]
Dan kalau pula kamu beroleh limpah kurnia daripada Allah, sudah tentu dia akan mengatakan, seolah-olah tidak pernah wujud hubungan kasih mesra antara kamu dengannya “Alangkah baiknya jikalau aku turut bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kejayaan yang amat besar”
[74]
Oleh itu, orang-orang yang menjual kehidupan dunia untuk akhirat, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu gugur atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.
[75]
Dan apakah yang menghalangi kamu untuk tidak berperang pada jalan Allah dan (untuk membela) orang-orang yang lemah dari kaum lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu berkata “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah untuk kami dari negeri ini, penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami”
[76]
Orang-orang beriman, mereka berperang pada jalan Allah, sedang orang-orang yang kafir, mereka berperang pada jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah pengikut-pengikut syaitan itu. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.
[77]
Tidakkah kamu melihat akan orang-orang yang dikatakan kepada mereka “Tahanlah tangan kamu, dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat” Kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada Allah malah lebih gerun lagi. Dan mereka berkata “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang? Mengapa tidak Engkau tunda kepada kami beberapa waktu lagi?” Katakanlah “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, dan hari akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun”
[78]
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka beroleh kebaikan, mereka berkata “Ini adalah dari sisi Allah” Dan jika pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata “Ini adalah daripada engkau” Katakanlah “Semuanya itu adalah dari sisi Allah” Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan?
[79]
Apa jua kebaikan yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah. Dan apa jua bencana yang menimpamu, maka ia berpunca dari dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutuskan engkau kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul. Dan cukuplah Allah menjadi saksi.
[80]
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah. Dan sesiapa yang berpaling, maka Kami tidak mengutuskanmu untuk menjadi pemelihara mereka.
[81]
Dan mereka berkata “(Kami) taat” Kemudian apabila mereka meninggalkanmu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain dari apa yang kamu katakan, sedang Allah menulis apa yang mereka rancangkan itu. Maka berpalinglah daripada mereka, dan berserahlah kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Pembela.
[82]
Patutkah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah ia bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
[83]
Dan apabila datang kepada mereka suatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya. Padahal jikalau mereka serahkan sahaja hal berkenaan kepada Rasulullah atau kepada Ulil-Amri di kalangan mereka, tentulah orang yang ingin mengetahui kebenarannya, akan mengetahuinya daripada mereka. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu menuruti syaitan kecuali sedikit sahaja.
[84]
Dan berperanglah pada jalan Allah. Engkau tidak diberati selain dari kewajipanmu sendiri. Dan berikanlah perangsang kepada orang-orang beriman. Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan Allah Amat besar kekuatanNya lagi Amat berat azab seksaNya.
[85]
Sesiapa yang memberi pertolongan yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian daripadanya. Dan sesiapa yang memberi pertolongan yang buruk, nescaya dia akan memikul bahagian daripadanya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[86]
Dan apabila kamu diberikan penghormatan (dengan suatu ucapan hormat), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah (sahaja). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
[87]
Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?
[88]
Dan apakah yang menyebabkan kamu menjadi dua golongan (pembela dan pembangkang) terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberikan pertunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan (untuk memujuknya).
[89]
Mereka suka kiranya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka menjadi kafir, maka menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu, janganlah kamu mengambil di antara mereka menjadi sekutu kamu, sebelum mereka berhijrah pada jalan Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya. Dan jangan sekali-kali kamu mengambil di antara mereka menjadi sekutu atau penolong.
[90]
Melainkan orang-orang yang menyertai suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, dan tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu, dan mereka tidak memerangi kamu dan mereka pula menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu suatu jalanpun untuk memerangi mereka.
[91]
Kamu juga akan mendapati golongan-golongan lain (yang berpura-pura) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya. Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah, mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu, dan menawarkan perdamaian kepada kamu dan menahan tangan mereka, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu temui mereka. Kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang untuk bertindak terhadapnya.
[92]
Dan tidak patut bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah dia) memerdekakan seorang hamba beriman dan membayar (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada keluarganya, kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika dia (yang terbunuh) dari kaum yang memusuhi kamu, sedang dia sendiri beriman, maka (wajiblah) memerdekakan seorang hamba beriman. Dan jika dia (yang terbunuh) dari kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar (denda ganti nyawa) kepada keluarganya dan memerdekakan seorang hamba beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut tanda bertaubat kepada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[93]
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya. Kemurkaan Allah menimpanya. Dan Dia melaknatnya dan Dia menyediakan baginya azab seksa yang besar.
[94]
Wahai orang-orang beriman, apabila kamu keluar pada jalan Allah, maka hendaklah kamu menyelidiki (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu menghukumnya) dengan tujuan hendakkan harta benda kehidupan dunia. Demi sesungguhnya, di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Begitulah juga keadaan kamu dahulu, lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu, selidikilah. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.
[95]
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk tanpa keuzuran dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang duduk. Dan tiap-tiap satu, Allah janjikan dengan balasan yang baik. Dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang amat besar.
[96]
Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan dan rahmat belas kasihan. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[97]
Sesungguhnya orang-orang yang diambil (nyawanya) oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka (Malaikat) berkata “Apakah yang kamu telah lakukan?” Mereka menjawab “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi” Mereka bertanya lagi “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian keadaannya, tempat akhir mereka neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
[98]
Melainkan orang-orang tertindas dari kaum lelaki dan perempuan dan kanak-kanak, yang tidak berdaya mencari helah, dan tidak pula mengetahui sebarang jalan.
[99]
Maka mereka, mudah-mudahan Allah memaafi mereka. Dan Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[100]
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya dia akan mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian dia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[101]
Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang sekiranya kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
[102]
Dan apabila engkau berada dalam kalangan mereka (semasa perang), kemudian engkau mendirikan sembahyang dengan menjadi imam mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu. Dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing. Kemudian apabila mereka telah bersujud (telah menyempurnakan satu rakaat), maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh). Kemudian hendaklah datang puak lain yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh). Dan hendaklah mereka bersembahyang (berjemaah) bersama-samamu. Dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga dan menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kiranya kamu lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir azab seksa yang amat menghinakan.
[103]
Kemudian apabila kamu telah selesai mendirikan sembahyang, maka hendaklah kamu mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram, maka dirikanlah sembahyang (dengan sempurna). Sesungguhnya sembahyang itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang beriman, yang tertentu waktunya.
[104]
Dan janganlah kamu lemah dalam mengejar musuh. Kalau kamu menderita sakit, maka mereka juga menderita sakit seperti penderitaan kamu, sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[105]
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab dengan kebenaran, supaya engkau menghakimi di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu. Dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.
[106]
Dan hendaklah engkau memohon keampunan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[107]
Dan janganlah engkau berbahas membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.
[108]
Mereka menyembunyikan daripada manusia, tetapi mereka tidak dapat menyembunyikan daripada Allah, padahal Dia ada bersama-sama mereka ketika mereka merancangkan pada malam hari, keputusan rahsia yang tidak diredhaiNya. Dan Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[109]
Sedarlah! Kamu ini berhujah untuk mereka dalam kehidupan dunia, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk mereka pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka?
[110]
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon keampunan Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[111]
Dan sesiapa yang mengerjakan suatu dosa, maka dia hanya mengerjakannya untuk dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[112]
Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian dia melontarnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan juga melakukan dosa yang amat nyata.
[113]
Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka untuk menyesatkanmu. Padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun. Dan Allah telah menurunkan kepadamu Kitab dan Hikmah, dan telah mengajarimu apa yang engkau tidak ketahui. Dan kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar.
[114]
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan (bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami memberikan kepadanya pahala yang amat besar.
[115]
Dan sesiapa yang menentang Rasulullah sesudah nyata kepadanya kebenaran pertunjuk, dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang beriman, Kami akan berikannya kekuatan untuk melakukan apa yang dipilihnya itu. Kemudian Kami akan memasukkannya ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[116]
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu, dan akan mengampunkan yang lain dari kesalahan tersebut bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[117]
Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah wanita. Dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka.
[Orang musyrik Jahiliyyah menamakan berhala-berhala mereka dengan nama perempuan]
[118]
Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian tertentu.
[119]
Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka, dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka memotong telinga binatang-binatang ternak. Dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah” Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi teman selain Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang nyata.
[120]
Dia sentiasa menjanjikan mereka dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong. Dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
[121]
Mereka itu, tempat akhirnya neraka Jahannam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.
[122]
Dan orang-orang yang beriman dan berbuat baik, Kami akan memasukkan mereka ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?
[123]
(Namun itu) tidak akan diperoleh hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab. Sesiapa yang melakukan kejahatan, akan dibalas untuknya. Dan dia pula tidak akan mendapati selain Allah, seorangpun yang akan melindunginya, dan tidak juga ada yang dapat menolongnya.
[124]
Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya sedikitpun.
[125]
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menghadapkan mukanya kepada Allah, sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia mengikut agama Ibrahim yang lurus. Dan Allah telah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan.
[126]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah sentiasa Meliputi akan tiap-tiap sesuatu.
[127]
Dan mereka meminta fatwa kepadamu mengenai kaum perempuan. Katakanlah “Allah akan memberikan keterangan kepada kamu mengenai mereka, dan juga apa yang dibacakan kepada kamu di dalam Kitab ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberikan kepadanya apa yang telah ditetapkan sebagai hak mereka, sedang kamu teringin mengahwini mereka. Dan juga mengenai anak-anak yang lemah. Dan supaya mengurus anak-anak yatim dengan adil. Dan apa jua kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya”
[128]
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka membuat perdamaian di antara mereka berdua. Dan perdamaian itu lebih baik, sedang sifat bakhil kedekut itu adalah tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[129]
Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh. Oleh itu, janganlah kamu cenderung dengan melampau sehingga kamu biarkan dia seperti benda yang tergantung-gantung. Dan sekiranya kamu memperbaiki dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[130]
Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.
[131]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu, dan juga kamu, iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah. Dan jika kamu ingkar, maka sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[132]
Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah sebagai Pemeliharanya.
[133]
Jika Dia menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu wahai umat manusia dan digantikan dengan yang lain. Dan Allah Maha Kuasa melakukan yang sedemikian itu.
[134]
Sesiapa yang mahukan pahala di dunia sahaja, maka di sisi Allah disediakan pahala dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[135]
Wahai orang-orang beriman! Hendaklah kamu menjadi penegak keadilan, menjadi saksi (menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum keluarga kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, maka Allah lebih mengetahui akan kemaslahatannya (kebaikannya). Oleh itu, janganlah kamu turuti hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[136]
Wahai orang-orang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya, dan juga kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[137]
Sesungguhnya orang-orang beriman, kemudian kembali kafir, kemudian beriman semula, kemudian kembali kafir, kemudian bertambah-tambah kekafirannya, maka Allah tidak akan mengampuni mereka, dan tidak pula akan memberi pertunjuk kepada mereka ke jalan yang benar.
[138]
Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik, bahawa mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[139]
Orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang beriman, tidaklah patut mereka mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi mereka (orang-orang kafir), kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya milik Allah.
[140]
Dan sesungguhnya, Dia telah menurunkan kepada kamu di dalam Kitab, iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal lain. Kerana sesungguhnya, tentulah kamu serupa seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan semua orang munafik berserta orang kafir di dalam neraka Jahannam.
[141]
Orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu kamu. Dan sekiranya kamu mendapat kemenangan daripada Allah, berkatalah mereka “Bukankah kami turut bersama-sama kamu?” Dan sekiranya orang-orang kafir pula mendapat peluang, berkatalah mereka “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari orang-orang beriman?” Maka Allah akan mengadili di antara kamu semua pada hari kiamat kelak. Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk mengenakan orang-orang yang beriman.
[142]
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap) Allah, dan Dia pula menipu daya mereka. Mereka apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas, mereka riak kepada manusia, dan mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.
[143]
(Mereka) dalam keadaan ragu antara, tidak berpihak kepada golongan ini dan tidak kepada golongan itu. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan.
[144]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang bagi Allah?
[145]
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terbawah sekali dari neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapapun yang boleh menolong mereka.
[146]
Melainkan orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki, dan berpegang teguh kepada Allah, dan mengerjakan ajaran agama kerana Allah. Maka mereka akan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Dan Allah akan memberi orang-orang yang beriman, pahala yang amat besar.
[147]
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur dan kamu beriman? Dan Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya, lagi Maha Mengetahui.
[148]
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang, kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[149]
Jika kamu melahirkan suatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, lagi Maha Kuasa.
[150]
Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan mereka pula hendak membeza-bezakan di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan berkata “Kami beriman kepada sebahagian dan ingkar kepada yang lain” Dan bertujuan hendak mengambil jalan lain di antara itu.
[151]
Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir azab seksa yang menghinakan.
[152]
Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan mereka tidak membeza-bezakan seseorangpun di antara mereka (Rasul-rasul). Mereka yang demikian, Dia akan memberi mereka pahala mereka. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[153]
Ahli Kitab meminta kepadamu supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. Sesungguhnya mereka juga telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata “Perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata” Maka mereka disambar petir disebabkan kezaliman mereka. Kemudian mereka mengambil (menyembah) anak lembu sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang jelas, dan Kami maafi pula mereka dari perbuatan yang sedemikian itu. Dan Kami telah memberikan kepada Musa kekuasaan yang nyata.
[154]
Dan Kami telah mengangkat Gunung Tursina di atas mereka untuk (menguatkan) perjanjian setia mereka, dan Kami perintahkan mereka “Masuklah kamu melalui pintu itu dengan bersujud” Dan Kami juga perintahkan mereka “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu” Dan Kami telah mengambil daripada mereka, perjanjian setia yang teguh.
[155]
Kemudian disebabkan mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka ingkar akan tanda-tanda Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar, dan mereka mengatakan “Hati kami tertutup” Bahkan Allah mengunci hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja.
[156]
Demikian juga kerana kekufuran mereka, dan tuduhan mereka terhadap Maryam.
[157]
Dan juga dakwaan mereka dengan mengatakan “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, sebaliknya yang diserupakan bagi mereka. Dan Sesungguhnya mereka berselisih pendapat mengenainya, selalu dalam keraguan mengenainya. Dan tiada suatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya kecuali mengikut sangkaan semata-mata. Maka mereka tidak yakin telah membunuhnya.
[158]
Bahkan Allah telah mengangkatnya (Nabi Isa) kepadaNya. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[159]
Dan tidak ada seorangpun dari kalangan ahli Kitab melainkan beriman kepadanya sebelum kematiannya. Dan pada hari kiamat kelak, dia (Nabi Isa) akan menjadi saksi terhadap mereka.
[160]
Dan disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan ke atas mereka benda-benda baik yang pernah dihalalkan, dan juga kerana mereka sering menghalangi jalan Allah.
[161]
Dan juga mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya. Dan mereka memakan harta manusia dengan jalan yang salah. Dan Kami telah sediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[162]
Tetapi orang-orang yang tetap teguh dan mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu, dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu. Dan mereka yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, dan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala yang amat besar.
[163]
Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu, sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya. Dan juga Kami telah memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan Nabi-nabi daripada keturunannya, dan Isa, Ayub, Yunus, Harun, dan Sulaiman. Dan Kami telah memberikan kepada Daud, Kitab Zabur.
[164]
Dan juga beberapa orang Rasul yang Kami telah ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang Kami tidak ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Musa secara langsung.
[165]
Rasul-rasul itu adalah pembawa khabar gembira, dan pembawa amaran, supaya tidak ada bagi manusia suatu hujah terhadap Allah sesudah (diutuskan) Rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[166]
Tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Dia menurunkannya dengan ilmuNya. Dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi.
[167]
Dan orang-orang yang kafir dan menghalangi dari jalan Allah, sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[168]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan berlaku zalim, Allah tidak akan mengampuni mereka, dan Dia tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka.
[169]
Melainkan jalan neraka Jahannam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.
[170]
Wahai sekalian umat manusia! Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah dengan membawa kebenaran daripada Tuhan kamu, maka berimanlah kamu, kerana itu lebih baik bagi kamu. Dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi. Dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
[171]
Wahai Ahli kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanyalah seorang pesuruh Allah, dan KalimahNya yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan juga roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan “Tiga” Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah Tuhan Yang Satu, Maha Suci Dia dari mempunyai anak. Bagi Dia jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pemeliharanya.
[172]
Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh dari menjadi hamba bagi Allah, demikian juga malaikat yang sentiasa rapat. Dan sesiapa yang enggan dan angkuh dari beribadat kepada Dia, dan berlaku sombong, maka Dia akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.
[173]
Sesudah itu, orang-orang yang beriman dan berbuat baik, Dia akan menyempurnakan bagi mereka pahala mereka, dan Dia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat dan berlaku sombong, maka Dia akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan mendapati sesiapapun selain Allah, yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.
[174]
Wahai sekalian umat manusia! Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang diyakini daripada Tuhan kamu, dan Kami telah menurunkan kepada kamu Nur yang menerangi.
[175]
Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah, dan berpegang teguh kepadaNya, Dia akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya dan limpah kurnia, dan akan menunjuki mereka ke jalan yang lurus, yang membawa kepadaNya.
[176]
Mereka meminta fatwa kepadamu. Katakanlah “Allah memberikan fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari apa yang ditinggalkan oleh si mati. Dan dia pula (saudara lelaki) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari apa yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan” Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.