Tuesday 14 August 2012

49. SURAH Al-Hujurat

49. SURAH Al-Hujurat
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah pula kamu menyaringkan suara semasa bercakap dengannya sebagaimana sebahagian kamu menyaringkan suaranya kepada sebahagian yang lain. Supaya amal-amal kamu tidak menjadi sia-sia, sedang kamu tidak sedari.
[3]
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa Rasulullah hadir, mereka adalah orang-orang yang telah diuji oleh Allah hati mereka untuk ketakwaan. Mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[4]
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari belakang bilik-bilik, kebanyakan mereka tidak mengerti.
[5]
Dan kalaulah mereka bersabar sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[6]
Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah, supaya kamu tidak menimpakan suatu kaum itu dengan keburukan disebabkan sifat jahil, sehingga kamu menyesali akan apa yang kamu telah lakukan.
[7]
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah. Kalaulah dia menuruti kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran. Akan tetapi Allah menjadikan iman itu suatu perkara yang kamu cintai dan diperhiaskan di dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran, perbuatan fasik, dan perbuatan derhaka itu pula, perkara-perkara yang kamu benci. Orang-orang itu, merekalah yang mendapat petunjuk.
[8]
Sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan jika dua puak dari kalangan orang-orang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka tentanglah puak yang zalim itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Kemudian jika mereka kembali, maka damaikanlah keduanya dengan adil. Dan berlaku adillah kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah satu puak mencemuh puak yang lain. Boleh jadi mereka itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula satu puak dari kaum perempuan mencemuh puak perempuan yang lain. Boleh jadi mereka itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula menghina diri kamu (sesama manusia). Dan janganlah berpanggilan antara satu dengan yang lain dengan nama panggilan (yang buruk). Amatlah buruk nama fasik itu sesudah iman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan. Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat yang lain. Adakah seseorang dari kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Dan sudah tentulah kamu jijik terhadapnya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha penyayang.
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
[14]
Orang-orang Arab Badwi berkata “Kami telah beriman” Katakanlah “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah kami telah berserah diri (Islam), kerana iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu. Dan sekiranya kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangkan sedikitpun amal-amal kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang”
[15]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian tidak merasa ragu-ragu, dan berjuang dengan harta benda mereka dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
[16]
Katakanlah “Patutkah kamu hendak memberitahu Allah mengenai agama kamu? Padahal Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
[17]
Mereka mengira berbudi kepadamu bahawa mereka telah menerima Islam. Katakanlah “Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan Allah jualah yang telah mengurniakan rahmat kepada kamu, bahawa Dialah yang memimpin kamu kepada iman, kalau betul kamu orang-orang yang benar”
[18]
Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”