40. SURAH Ghaffir
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Haa,
Miim.
[2]
Kitab
ini diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[3]
Yang
Mengampunkan dosa, Yang Menerima taubat, Yang Maha Berat azab seksaNya, Yang
Melimpah-limpah kurniaNya. Tiada Tuhan melainkan Dia. KepadaNyalah tempat
kembali.
[4]
Tidak
ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir.
Oleh itu, janganlah engkau diperdayakan oleh pergerakan mereka di dalam negeri.
[5]
Sebelum
mereka, kaum Nuh juga telah mendustakan, dan puak-puak yang bersekutu
sesudah mereka. Dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan tipu daya
terhadap Rasul mereka untuk menawannya. Dan mereka telah membantah menggunakan
perkara yang salah demi menyangkal kebenaran dengannya. Kerana itu Aku tawan
mereka. Maka perhatikanlah bagaimana kesan azabKu!
[6]
Dan
demikianlah, telah pasti Perkataan Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir,
bahawa mereka adalah penghuni neraka.
[7]
Mereka
(malaikat) yang memikul Arasy dan yang berada di sekelilingnya, bertasbih
memuji Tuhannya dan beriman kepadaNya dan memohon keampunan untuk orang-orang
yang beriman “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya.
Oleh itu, berikanlah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan menuruti
jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
[8]
Wahai
Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga Adn yang Engkau telah
janjikan kepada mereka, dan sesiapa juga yang layak di kalangan ibu bapa
mereka, isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka. Sesungguhnya Engkau,
Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan
peliharalah mereka dari kejahatan-kejahatan. Dan sesiapa yang Engkau pelihara
pada hari itu dari kejahatan-kejahatan, maka sesungguhnya Engkau telah
mengurniakan rahmat kepadanya. Dan itulah kejayaan yang besar”
[10]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir akan diteriakkan kepada mereka “Demi sesungguhnya!
Kebencian Allah lebih besar daripada kebencianmu terhadap diri sendiri. Ketika
kamu diseru kepada iman, lalu kamu mengingkari”
[11]
Mereka
menjawab “Wahai Tuhan kami! Engkau telah mematikan kami dua kali, dan telah
menghidupkan kami dua kali. Dan kami mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu,
adakah sebarang jalan untuk keluar?”
[12]
“Yang
demikian kerana, apabila Allah Yang Maha Esa sahaja disembah, kamu ingkar. Dan
apabila dipersekutukan sesuatu denganNya, kamu mempercayai. Maka keadilan
adalah milik Allah, Yang Maha Tinggi, lagi Yang Maha Besar”
[13]
Dialah
Yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya, dan yang menurunkan rezeki dari
langit untuk kamu. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran melainkan orang yang
sentiasa kembali.
[14]
Dan
sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, sekalipun orang-orang
yang kafir tidak menyukai.
[15]
Dialah
Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang memiliki Arasy. Dia menempatkan
wahyu perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan
hamba-hambaNya, agar Dia memberikan amaran mengenai hari pertemuan,
[16]
Iaitu
hari mereka keluar. Tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun mengenai
mereka “Milik siapakah penguasaan pada hari ini?” Milik Allah Yang Maha Esa,
lagi Yang Maha mengalahkan!
[17]
Pada
hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya. Tidak ada
ketidakadilan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
[18]
Dan
berikanlah amaran kepada mereka mengenai hari yang semakin dekat itu, iaitu
ketika hati (perasaan) berada di kerongkong, nazak. Orang-orang yang zalim
tidak akan mendapat seorang sahabatpun, dan tidak juga pemberi syafaat yang
diterima.
[19]
Dia
mengetahui pandangan mata khianat, dan mengetahui apa yang tersembunyi di dalam
dada.
[20]
Dan
Allah memberikan keputusan dengan kebenaran, sedang yang mereka sembah yang
lain daripadaNya itu, tidaklah mereka dapat memberikan sebarang keputusan.
Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[21]
Tidakkah
mereka mengembara di muka bumi, dan melihat bagaimana kesudahan orang-orang
yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih
hebat daripada mereka akan kekuatan dan kesan-kesan (peradaban) di muka bumi.
Dan sekalipun begitu, Allah binasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka, dan
tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat melindungi mereka daripada Allah.
[22]
Yang
demikian kerana mereka didatangi Rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti
yang jelas, lalu mereka ingkar, maka Allah menyeksa mereka. Sesungguhnya Dia
Maha Perkasa lagi Maha berat azab seksaNya.
[23]
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Musa bersama Tanda-tanda Kami
berserta bukti yang nyata.
[24]
Kepada
Firaun, Haman, dan Qarun. Kemudian mereka berkata “Seorang ahli sihir, dan
seorang pendusta!”
[25]
Sesudah
dia bawakan kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata “Bunuhlah
anak-anak lelaki orang-orang beriman yang bersamanya, dan biarkanlah perempuan
mereka” Dan tidaklah tipu daya orang-orang yang kafir itu melainkan dalam
kesesatan.
[26]
Dan
berkatalah Firaun “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarkanlah dia memohon
kepada Tuhannya! Sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agama kamu, atau dia
akan menimbulkan kerosakan di muka bumi”
[27]
Dan
Musa berkata “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kamu
dari tiap-tiap orang yang sombong, yang tidak beriman kepada hari perhitungan!”
[28]
Dan
berkatalah seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun yang menyembunyikan
imannya “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki hanya kerana dia mengatakan
Tuhanku adalah Allah? Sedang dia datang kepada kamu membawa bukti-bukti yang
jelas daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka ke atasnyalah
dustanya itu, namun kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpakan
oleh sebahagian dari apa yang diancamkannya kepada kamu itu" Sesungguhnya
Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi
pendusta.
[29]
"Wahai
kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kekuasaan memerintah di muka bumi. Dan
siapakah yang akan membela kita dari azab Allah sekiranya ia datang kepada
kita?” Firaun berkata “Aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan dengan apa
yang aku lihat, dan tidak pula aku menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang
betul”
[30]
Dan
berkatalah pula orang yang beriman itu “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang
kamu akan ditimpa sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum bersekutu!
[31]
Seperti
keadaan kaum Nuh, Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), dan
orang-orang sesudah mereka. Dan Allah tidak menghendaki berlaku zalim kepada
hamba-hamba(Nya).
[32]
Dan
wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang bagi kamu, hari yang padanya
jeritan-jeritan.
[33]
Hari
kamu berpaling melarikan diri. Tidak ada sesiapapun yang dapat melindungi kamu
daripada Allah. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya
sebarang petunjuk.
[34]
Dan
demi sesungguhnya! Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa
bukti-bukti yang nyata, dan kamu tetap jua dalam keraguan mengenai apa yang
dibawakannya kepada kamu itu sehingga apabila dia meninggal, kamu berkata
“Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya” Demikianlah Allah
menyesatkan sesiapa yang melampaui, lagi bersikap ragu-ragu,
[35]
(Iaitu)
orang-orang yang mempertikaikan tanda-tanda Allah tanpa sebarang bukti yang
sampai kepada mereka. Betapa besarnya kebencian di sisi Allah dan di sisi
orang-orang beriman. Demikianlah Allah mengunci hati tiap-tiap orang yang
sombong dan berlaku sewenang-wenangnya!
[36]
Dan
Firaun berkata “Hai Haman! Binakanlah untukku sebuah bangunan yang tinggi,
semoga aku sampai ke jalan-jalan,
[37]
Jalan-jalan
langit, agar aku dapat melihat Tuhan Musa. Dan sesungguhnya aku fikir dia
adalah seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan kepada Firaun akan
perbuatannya yang buruk supaya dipandangnya baik, dan dia dihalang dari jalan
(yang benar). Dan tidaklah tipu daya Firaun itu melainkan dalam kebinasaan.
[38]
Dan
berkatalah pula orang yang beriman itu “Wahai kaumku! Turutilah aku, aku akan
membimbing kamu ke jalan yang benar.
[39]
Wahai
kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah hiburan, dan sesungguhnya
hari akhirat itulah tempat tinggal yang kekal.
[40]
Sesiapa
yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat, maka dia tidak dibalas melainkan
dengan yang setimpal dengannya. Dan sesiapa yang berbuat baik, baik lelaki
mahupun perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan memasuki Syurga.
Mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu tanpa batas.
[41]
Dan
wahai kaumku! Apakah bagi aku? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu
pula mengajakku ke neraka?
[42]
Kamu
mengajakku supaya aku kufurkan Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang aku
tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, sedang aku mengajak kamu
kepada Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun?
[43]
Tidak
dapat dinafikan, bahawa apa yang kamu mengajak aku kepadanya itu tidak ada baginya
hak sama ada di dunia mahupun di akhirat. Dan tempat kembali kita semua pula
adalah kepada Allah, dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas,
merekalah penghuni neraka.
[44]
Dan
kamu kelak pasti akan mengingat kembali apa yang aku katakan kepada kamu ini. Dan
aku sentiasa menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan keadaan hamba-hambaNya”
[45]
Kemudian
Allah melindunginya dari kejahatan tipu daya mereka. Dan Firaun berserta
kaumnya pula diselubungi azab seksa yang seburuk-buruknya,
[46]
Mereka
diperlihatkan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa di alam Barzakh).
Dan pada hari berlakunya Saat pula “Masukkanlah Firaun berserta
pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”
[47]
Dan
ketika mereka berbantah-bantah di dalam neraka, maka berkatalah yang lemah
kepada orang-orang yang sombong “Sesungguhnya kami telah menjadi
pengikut-pengikut kamu, oleh itu dapatkah kamu menolak daripada kami sebahagian
dari azab neraka ini?”
[48]
Orang-orang
yang sombong itu menjawab “Sesungguhnya kita semua berada di dalamnya. Sesungguhnya
Allah telah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba(Nya)”
[49]
Dan
berkatalah orang-orang yang ada di dalam neraka kepada penjaga-penjaga neraka
Jahanam “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu supaya diringankan sedikit azab seksa
daripada kami, walaupun sehari”
[50]
Mereka
menjawab “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu membawa bukti-bukti
yang nyata?” Mereka menjawab “Ya, telah datang” Mereka berkata “Jika demikian,
berdoalah" Bahkan tiadalah doa permohonan orang-orang yang kafir itu
melainkan dalam kesesatan.
[51]
Sesungguhnya
Kami, Kami tetap akan menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang beriman dalam
kehidupan dunia dan juga pada hari berdirinya para saksi.
[52]
Iaitu
pada hari yang tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim alasan-alasan
mereka, bahkan mereka akan beroleh laknat, dan beroleh pula seburuk-buruk
tempat tinggal.
[53]
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Musa petunjuk dan Kami jadikan
kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat,
[54]
Sebagai
petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.
[55]
Dan
bersabarlah. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Dan pohonkanlah
keampunan bagi salah silapmu, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu
pagi dan petang.
[56]
Sesungguhnya
orang-orang yang mempertikaikan tanda-tanda Tuhanmu tanpa sebarang bukti yang
sampai kepada mereka, tidak ada di dalam dada mereka melainkan kebesaran, yang
tidak sekali-kali mereka akan capai. Dan pohonkanlah perlindungan kepada Allah.
Sesungguhnya Dia, Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[57]
Demi
sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi itu lebih besar daripada menciptakan
manusia. Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[58]
Dan
tidaklah sama yang buta dengan yang melihat, dan tidaklah juga orang-orang yang
beriman dan berbuat baik dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat
kamu beringat.
[59]
Sesungguhnya
Saat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang keraguan padanya. Akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mahu beriman.
[60]
Dan
Tuhan kamu berfirman “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku akan memberikan
respon kepada kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari menyembah Aku,
akan memasuki neraka Jahanam dalam keadaan hina”
[61]
Allah
jua yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan
menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah
kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak
bersyukur.
[62]
Itulah
Allah, Tuhan kamu. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu. Tiada Tuhan melainkan
Dia. Maka bagaimanakah kamu boleh dipalingkan?
[63]
Demikianlah
orang-orang yang mengingkari tanda-tanda Allah dipalingkan.
[64]
Allah
jua yang menjadikan bumi sebagai tempat kediaman untuk kamu, dan langit sebagai
bumbung. Dan Dia membentuk kamu dan memperelokkan rupa kamu, dan dikurniakan
kepada kamu benda-benda yang baik. Itulah Allah Tuhan kamu. Maka nyatalah
kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan semesta alam.
[65]
Dialah
Yang Tetap Hidup. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dan berdoalah dengan mengikhlaskan
ibadah kamu kepadaNya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
[66]
Katakanlah
“Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah selain Allah
setelah datang kepadaku bukti-bukti yang jelas daripada Tuhanku. Dan aku pula
diperintahkan supaya berserah kepada Tuhan semesta alam”
[67]
Dialah
yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian
daripada sebuku darah beku, kemudian Dia mengeluarkan kamu sebagai kanak-kanak.
Kemudian membiarkan kamu sehingga kamu mencapai kematangan kamu. Kemudian
membiarkan kamu menjadi tua. Dan ada juga di antara kamu yang mati sebelum itu.
Dan membiarkan kamu sampai ke masa yang telah ditentukan. Dan supaya kamu
memahami.
[68]
Dialah
yang menghidupkan dan mematikan. Dan apabila Dia menetapkan jadinya sesuatu,
maka hanyalah Dia berfirman kepadanya “Jadilah!” lalu menjadilah ia.
[69]
Tidakkah
engkau melihat terhadap orang-orang yang mempertikai mengenai tanda-tanda
Allah, bagaimanakah mereka dapat dipalingkan?
[70]
Iaitu
orang-orang yang mendustakan Kitab dan apa yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang
Kami telah utuskan bersamanya. Maka mereka akan mengetahui kelak.
[71]
Ketika
belenggu dan rantai dipasangkan pada leher mereka, sambil mereka diseret,
[72]
Ke
dalam air panas yang menggelegak. Kemudian mereka dibakar dalam api neraka.
[73]
Dan
dikatakan kepada mereka “Manakah yang dahulu kamu sekutukan.
[74]
Yang
lain dari Allah?” Mereka menjawab “Mereka telah pergi daripada kami. Dan kami
dahulupun sebenarnya tidak pernah menyeru sesuatu pun” Demikianlah Allah
menyesatkan orang-orang yang ingkar.
[75]
“Yang
demikian kerana kamu dahulu bersuka ria di bumi dengan cara yang tidak baik dan
kerana kamu biadab.
[76]
Masukilah
pintu-pintu neraka Jahanam dan kekallah di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk
tempat bagi orang-orang yang sombong”
[77]
Dan
bersabarlah, sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Dan sekiranya Kami
perlihatkan kepadamu sebahagian dari apa yang Kami janjikan kepada mereka, atau
Kami wafatkanmu, maka kepada Kamilah jua mereka akan dikembalikan.
[78]
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan beberapa orang Rasul sebelummu. Di
antara mereka ada yang Kami ceritakan kisahnya kepadamu, dan ada juga di
antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidak sepatutnya bagi
seseorang Rasul itu bahawa dia membawakan suatu tanda, melainkan dengan izin
Allah. Dan apabila datang perintah Allah, setelah diputuskan dengan kebenaran.
Maka rugilah orang-orang yang berpegang pada perkara yang salah.
[79]
Allah
jua yang menjadikan binatang ternak bagi kamu. Sebahagian di antaranya untuk
kamu tunggangi, dan sebahagian lagi kamu makan.
[80]
Dan
faedah-faedah lain daripada mereka untuk kamu, dan supaya kamu dapat memenuhi suatu
hajat yang ada di dalam dada kamu melalui mereka. Dan di atas mereka, dan di atas
kapal-kapal, kamu diangkut.
[81]
Dan
Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya. Maka di antara tanda-tanda Allah
yang mana lagikah, yang kamu nafikan?
[82]
Tidakkah
mereka telah mengembara di muka bumi, kemudian melihat bagaimana kesudahan
orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu lebih ramai daripada
mereka, dan lebih hebat daripada mereka akan kekuatan dan kesan-kesan
(peradaban) di muka bumi. Namun apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu,
tidak jua dapat menolongnya sedikitpun.
[83]
Kerana
ketika mereka didatangi Rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang
jelas, mereka juga bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka sahaja.
Oleh kerana itu, mereka diliputi oleh apa yang mereka ejek-ejekan.
[84]
Dan
ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata “Kami beriman kepada Allah
semata-mata, dan kami ingkar kepada apa yang kami sekutukan denganNya”
[85]
Tetapi
iman mereka itu tatkala melihat azab Kami, tidak berguna lagi bagi mereka. Yang
demikian hanyalah menurut Sunnatullah yang telah berlaku juga kepada
hamba-hambaNya. Di situlah ruginya orang-orang yang ingkar.