Tuesday 7 August 2012

20. SURAH Ta-ha

20. SURAH Ta-ha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Taa’ Haa.
[2]
Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu supaya engkau menanggung susah.
[3]
Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut (kepada Allah).
[4]
Diturunkan dari Yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dialah yang memiliki segala yang ada di langit, dan yang ada di bumi, dan yang ada di antara keduanya dan yang ada di bawah tanah.
[7]
Dan sekiranya engkau menyaringkan suara dengan perkataan, maka sesungguhnya Dia mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.
[8]
Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
[9]
Adakah telah sampai kepadamu kisah Musa?
[10]
Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada keluarganya “Berhentilah di sini! Sesungguhnya aku melihat api, semoga aku dapat bawakan kepada kamu sedikit daripadanya, atau aku mendapat di tempat api tersebut, petunjuk jalan”
[11]
Tatkala dia sampai kepadanya, dia diseru “Wahai Musa!
[12]
Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka tanggalkanlah kasutmu. Sesungguhnya engkau sedang berada di Wadi Tuwa yang suci.
[13]
Dan Aku telah memilihmu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan.
[14]
Sesungguhnya Akulah Allah. Tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
[15]
Sesungguhnya Saat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa kedatangannya, supaya tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang dia usahakan.
[16]
Dan janganlah engkau dihalang daripadanya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan menuruti hawa nafsunya. Kerana dengan itu engkau akan binasa.
[17]
Dan apakah yang ada di tangan kananmu itu wahai Musa?”
[18]
Dia menjawab “Ini adalah tongkatku. Aku bertongkat di atasnya, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu untuk kambing-kambingku, dan terdapat lagi keperluan lain untukku padanya”
[19]
Dia berfirman “Campakkanlah ia wahai Musa!”
[20]
Lalu dia mencampakkannya, maka dengan tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap cepat.
[21]
Dia berfirman “Tangkaplah ia, dan janganlah takut, Kami akan mengembalikannya kepada bentuk asalnya.
[22]
Dan kepitkanlah tanganmu pada tepimu. Nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar tanpa sebarang cacat-cela, sebagai suatu tanda yang lain.
[23]
Kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda Kami yang besar.
[24]
Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”
[25]
Dia berkata “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku.
[26]
Dan mudahkanlah bagiku, tugasku.
[27]
Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,
[28]
Supaya mereka memahami perkataanku.
[29]
Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
[30]
Iaitu Harun saudaraku.
[31]
Kuatkanlah dengannya, pendirianku,
[32]
Dan jadikanlah dia untuk turut bertanggungjawab dalam urusanku,
[33]
Supaya kami sentiasa membesarkanMu,
[34]
Dan sentiasa mengingatiMu.
[35]
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui akan kami”
[36]
Dia berfirman “Sesungguhnya telah diperkenankan permohonanmu itu, wahai Musa!
[37]
Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu suatu nikmat di suatu masa yang lain.
[38]
Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, apa yang terilham.
[39]
Letakkanlah dia di dalam peti, kemudian letakkanlah ia ke sungai, dan biarkanlah sungai itu membawanya ke tebing. Akan dipungutlah dia musuhKu dan musuhnya. Dan Aku telah menanamkan daripadaKu perasaan kasih sayang terhadapmu. Dan bahawa engkau dibesarkan di bawah pemerhatianKu.
[40]
Ketika saudara perempuanmu pergi (mencarimu) lalu dia berkata “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu orang yang boleh memeliharanya?” Maka Kami mengembalikanmu semula kepada ibumu supaya redup pandangan matanya dan supaya dia tidak bersedih hati. Dan ketika engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau daripada penderitaan. Dan Kami berkali-kali menguji engkau dengan ujian. Kemudian engkau tinggal selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan. Setelah itu engkau kini datang pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
[41]
Dan Aku telah memilihmu untuk diriKu.
[42]
Pergilah engkau dan saudaramu membawa tanda-tandaKu dan janganlah menjadi lemah dalam mengingati Daku.
[43]
Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.
[44]
Dan berkatalah kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga dia mengambil pengajaran atau takut”
[45]
Mereka berkata “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami khuatir bahawa dia akan segera menentang kami, atau akan semakin melampaui batas”
[46]
Dia berfirman “Janganlah takut, sesungguhnya Aku bersama-sama kamu. Aku mendengar dan Aku melihat.
[47]
Oleh itu, pergilah kamu kepadanya, kemudian katakan “Sesungguhnya kami ini utusan Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani Israil bersama kami, dan janganlah menyeksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa suatu tanda daripada Tuhanmu! Dan keselamatanlah bagi orang-orang yang menuruti petunjuk.
[48]
Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa akan ditimpakan kepada orang yang mendustakan dan berpaling”
[49]
Dia (Firaun) berkata “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu itu wahai Musa?”
[50]
Dia menjawab “Tuhan kami ialah Yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu, kejadian semula jadinya, kemudian Dia membimbingnya”
[51]
Dia bertanya lagi “Jika demikian, bagaimanakah pula dengan keadaan kaum-kaum yang telah lalu?”
[52]
Dia menjawab “Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, di dalam sebuah Kitab. Tuhanku tidak pernah keliru dan tidak pula pernah lupa”
[Lauh mahfuz]
[53]
Yang telah menjadikan bumi untuk kamu sebagai hamparan, dan telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan, dan menurunkan air dari langit, kemudian Kami mengeluarkan dengannya berjenis-jenis pasangan tumbuhan.
[54]
Makanlah dan berikanlah makan binatang-binatang ternak kamu. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal fikiran.
[55]
Daripadanya Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya juga Kami akan mengeluarkan kamu pada suatu masa yang lain.
[56]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menunjukkan kepadanya semua tanda-tanda Kami. Namun dia mendustakan dan menolak.
[57]
Dia berkata “Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?
[58]
Jika demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seumpama itu! Maka tentukanlah satu waktu pertemuan antara kami denganmu, yang kita sama-sama tidak akan memungkirinya di suatu tempat yang sesuai”
[59]
Dia menjawab “Waktu kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”
[60]
Maka berangkatlah Firaun, lalu mengumpulkan semua rancangannya, kemudian datang.
[61]
Musa berkata kepada mereka “Kecelakaanlah ke atas kamu! Janganlah mengadakan pendustaan terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa. Dan sesungguhnya orang yang berdusta itu, tetap akan gagal”
[62]
Dan mereka berbantahan dalam perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan pula dialog tersebut.
[63]
Mereka berkata “Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan jalan kamu yang utama.
[64]
Oleh itu, satukanlah segala cara kamu, kemudian datanglah dalam satu barisan. Dan sesungguhnya, berjayalah orang yang mengatasi pada hari ini”
[65]
Mereka berkata “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan atau kamikah yang terlebih dahulu mencampakkan?”
[66]
Dia menjawab “Bahkan campakkanlah kamu” Tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah ia merayap dengan cepat disebabkan sihir mereka.
[67]
Dan yang demikian itu menjadikan Musa terdetik sedikit rasa takut di dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman kepadanya “Janganlah takut! Sesungguhnya engkau, engkaulah yang tertinggi.
[69]
Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan segala apa yang mereka ada-adakan. Sesungguhnya apa yang mereka ada-adakan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan berjaya di manapun dia datang”
[70]
Kemudian ahli-ahli sihir itu dengan segera merebahkan diri bersujud sambil mereka berkata “Kami beriman kepada Tuhan Harun dan Musa”
[71]
Dia berkata “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku mengizinkan kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajarkan sihir kepada kamu. Maka demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu secara bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon kurma. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”
[72]
Mereka menjawab “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu dari apa yang telah datang kepada kami dari bukti-bukti yang nyata, dan Yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan. Sesungguhnya engkau hanyalah menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahan kami, dan dari sihir yang engkau paksakan kami kepadanya. Dan Allah jualah yang terbaik dan Yang kekal selama-lamanya”
[74]
Sesungguhnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya sebagai orang yang bersalah, maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahanam yang dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak pula akan hidup.
[75]
Dan sesiapa yang datang kepadaNya sebagai seorang yang beriman, dan dia telah mengerjakan amal-amal soleh, maka mereka itu akan beroleh darjat yang tinggi.
[76]
(Iaitu) Syurga-syurga Adn yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sambil kekal di dalamnya. Dan yang demikian, itulah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya.
[77]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mewahyukan kepada Musa bahawa “Pergilah bersama hamba-hambaKu pada waktu malam, dan pukullah untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut. Janganlah menaruh rasa bimbang ditangkap, dan janganlah pula merasa takut”
[78]
Kemudian Firaun telah mengekori mereka bersama-sama tenteranya, lalu mereka diliputi dari air laut apa yang meliputi mereka.
[79]
Dan dengan itu Firaun telah menyesatkan kaumnya, dan tidaklah memberikan petunjuk kepada mereka.
[80]
Wahai Bani Israil! Sesungguhnya Kami telah menyelamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah mengadakan perjanjian dengan kamu di sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami telah menurunkan kepada kamu Mann dan Salwa,
[81]
“Makanlah dari benda-benda baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian, kamu akan ditimpa kemurkaanKu. Dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah dia”
[82]
Dan sesungguhnya, Aku Maha Pengampun kepada orang-orang yang bertaubat dan beriman dan berbuat baik, kemudian tetap teguh menuruti petunjuk.
[83]
Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari terlebih dahulu daripada kaum engkau wahai Musa?
[84]
Dia menjawab “Mereka sedang menyusuli daku tidak jauh dari sini. Dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau meredhai”
[85]
Dia berfirman “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”
[86]
Maka kembalilah Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita. Dia berkata “Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang akan perjanjian tersebut? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi janji denganku?”
[87]
Mereka menjawab “Kami tidak menyalahi janji kepadamu itu dengan kehendak kami, tetapi kami telah dibebani oleh barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, maka kami mencampakkannya ke dalam api, dan demikianlah juga Samiri mencampakkan.
[88]
Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata “Inilah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi dia lupa!”
[89]
Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak memerhatikan bahawa ia tidak dapat mengembalikan kepada mereka sebarang perkataan pun, dan tidak pula bagi mereka memiliki sebarang bahaya atau tidak juga manfaat?
[90]
Dan demi sesungguhnya, Harun telah berkata kepada mereka sebelum itu “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diberikan cubaan dengannya, dan sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pemurah. Oleh itu, ikutilah daku dan taatlah akan perintahku”
[91]
Mereka menjawab “Kami tidak sekali-kali akan berhenti mengabdikan diri kepadanya, sehinggalah Musa kembali kepada kami”
[92]
(Sekembalinya), dia berkata “Wahai Harun, apakah yang menghalangimu ketika engkau melihat mereka sesat,
[93]
Kamu tidak menuruti aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”
[94]
Dia menjawab “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah pula kepalaku. Sesungguhnya aku merasa khuatir bahawa engkau akan berkata kepadaku 'Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani Israil sesama sendiri, dan engkau tidak menghormati perkataanku!'”
[95]
Dia bertanya “Apakah pula halmu, wahai Samiri?”
[96]
Dia menjawab “Aku mengetahui apa yang tidak mereka ketahui, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya. Dan demikianlah aku diseru oleh jiwaku”
[97]
Dia berkata “Jika demikian, pergilah. Dan sesungguhnya telah ditetapkan bagimu dalam kehidupan dunia ini mengatakan 'Jangan sentuh' [dia akan hidup terpencil seorang diri]. Dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu suatu ketentuan yang engkau tidak sekali-kali akan gagal terhadapnya. Dan perhatikanlah kepada tuhanmu yang engkau mengabdikan diri kepadanya, sesungguhnya kami akan membakarnya, lalu kami taburkan serbuknya di laut.
[98]
Sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”
[99]
Demikianlah Kami ceritakan kepadamu, sebahagian dari kisah-kisah yang telah lalu. Dan sesungguhnya, Kami telah memberikan kepadamu dari sisi Kami suatu Peringatan.
[100]
Sesiapa yang berpaling daripadanya, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat akan memikul bebanan.
[101]
Kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan amatlah buruk bebanan tersebut bagi mereka pada hari kiamat.
[102]
Hari ditiupkan Sangkakala, dan Kami himpunkan pada hari tersebut orang-orang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.
[103]
Mereka berbisik-bisik sesama sendiri “Kamu tidak tinggal melainkan sepuluh sahaja”
[104]
Kami lebih mengetahui mengenai apa yang mereka katakan ketika berkata, manakala orang yang lebih tepat mengurus “Tidaklah kamu tinggal melainkan sehari”
[105]
Dan mereka bertanyakan kepadamu mengenai gunung-ganang. Maka jawablah “Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu.
[106]
Dan Dia akan menjadikan ia rata serata-ratanya.
[107]
Tidak ada sedikitpun kamu akan melihat padanya sebarang keretakan dan tidak juga sebarang lengkungan”
[108]
Pada hari itu mereka menuruti seruan panggilan yang menyeru, tanpa dapat melencong sedikitpun daripadanya. Dan diam khusyuklah segala suara kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
[109]
Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat melainkan daripada orang yang diizinkan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, dan kepada orang yang Dia menerima perkataannya.
[110]
Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka, dan apa yang di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahuinya.
[111]
Dan segala muka akan tunduk kepada Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbir makhluk selama-lamanya. Dan sesungguhnya telah gagallah orang yang melakukan kezaliman.
[112]
Dan sesiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, sedang dia beriman, maka tidaklah dia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari haknya.
[113]
Dan demikianlah Kami telah menurunkan ia sebagai Al-Quran (Bacaan) dalam bahasa Arab. Dan Kami telah menerangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka bertakwa, atau supaya ia menyebabkan mereka beringat.
[114]
Dan Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar. Dan janganlah engkau tergesa-gesa terhadap Al-Quran sebelum selesai dibacakan kepadamu, dan katakanlah “Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”
[115]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengikat perjanjian kepada Adam pada masa lalu, tetapi dia lupa. Dan Kami juga mendapatinya tidak mempunyai keazaman yang teguh.
[116]
Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat “Bersujudlah kepada Adam” lalu mereka bersujud melainkan Iblis, dia menolak.
[117]
Maka Kami berfirman “Wahai Adam, sesungguhnya ini adalah musuh bagimu dan bagi isterimu. Oleh itu, janganlah disebabkan dia kamu berdua dikeluarkan dari Syurga, kerana dengan demikian engkau akan menderita.
[118]
Sesungguhnya bagimu, engkau tidak akan merasa lapar di dalamnya, dan tidak pula kamu akan bertelanjang.
[119]
Dan sesungguhnya bagimu juga, engkau tidak akan merasa dahaga di dalamnya, dan tidak juga akan merasa terik matahari”
[120]
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya, dia berkata “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap?”
[121]
Kemudian mereka berdua memakan daripadanya, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupinya dengan daun-daun dari Syurga. Dan dengan demikian, derhakalah Adam kepada Tuhannya, dan melakukan kesilapan.
[122]
Kemudian Tuhannya memilihnya, dan menerima taubatnya, dan memberikannya petunjuk.
[123]
Dia berfirman “Turunlah daripadanya semuanya. Sebahagian kamu akan menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan jika datang kepada kamu petunjuk daripadaKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita.
[124]
Dan sesiapa yang berpaling dari mengingatiKu, maka sesungguhnya baginyalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”
[125]
Berkatalah dia “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau bangkitkan daku dalam keadaan buta, padahal aku mempunyai penglihatan?”
[126]
Dia berfirman “Demikianlah keadaannya! Telah datang tanda-tanda Kami kepadamu, lalu engkau melupakannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan”
[127]
Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada tanda-tanda Tuhannya. Dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.
[128]
Adakah belum jelas lagi kepada mereka, berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka kini berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum tersebut? Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal fikiran.
[129]
Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu, nescaya telah sampailah satu kewajipan dan ajal yang ditentukan.
[130]
Oleh itu, bersabarlah atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbihlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada penghujung dari waktu siang, supaya engkau merasa tenang.
[131]
Dan janganlah menujukan pandangan matamu pada apa yang telah Kami berikan kepada pasangan-pasangan dari mereka itu sebagai keseronokan, yang merupakan keindahan kehidupan dunia untuk Kami uji mereka padanya, sedang limpah kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
[133]
Dan mereka berkata “Mengapa dia tidak membawakan kepada kami suatu tanda daripada Tuhannya?” Bukankah telah datang kepada mereka bukti-bukti dari apa yang terkandung di dalam Kitab-kitab yang terdahulu?
[134]
Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan suatu azab sebelum dia, tentulah mereka akan berkata “Wahai Tuhan kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menuruti tanda-tandaMu sebelum kami menjadi hina dan mendapat malu”
[135]
Katakanlah “Tiap-tiap sedang menunggu, maka tunggulah! Kemudian kamu akan mengetahui siapakah yang berada di atas jalan yang lurus, dan siapa pula yang mendapat petunjuk”