33. SURAH Al-Ahzab
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai
Nabi! Bertakwalah kepada Allah, dan janganlah menuruti orang-orang yang kafir dan
orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dan
turutilah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu. Sesungguhnya
Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[3]
Dan
berserahlah kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai Pentadbir urusanmu.
[4]
Allah
tidak sekali-kali menjadikan seseorang itu memiliki dua hati di dalam
rongganya. Dan Dia tidak pula menjadikan isteri-isteri yang kamu ziharkan itu
sebagai ibu kamu. Dan Dia, tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak
kamu sendiri. Itu hanyalah perkataan di mulut kamu sahaja. Dan Allah mengatakan
yang benar dan Dialah jua yang menunjukkan jalan.
[5]
Panggillah
mereka (anak-anak angkat itu) dengan cara berbinkan ayah-ayah mereka sendiri.
Itulah yang lebih adil di sisi Allah. Sekiranya kamu tidak mengetahui ayah-ayah
mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara kamu seagama dan
sebagai maula-maula kamu. Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu
tersilap melakukannya, sebaliknya yang disengajakan oleh hati kamu. Dan Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[6]
Nabi
itu lebih utama bagi orang-orang beriman berbanding diri mereka sendiri. Dan
isteri-isterinya pula adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai
tali pertalian kekeluargaan itu, lebih berhak (mewarisi) di kalangan mereka
menurut Kitab Allah berbanding orang-orang beriman dan orang-orang Muhajirin,
melainkan jika kamu hendak berbuat baik kepada saudara-saudara (seagama).
Demikianlah telah tertulis di dalam Kitab.
[7]
Dan
ketika Kami mengambil daripada Nabi-nabi, perjanjian mereka, dan daripada
engkau sendiri, dan daripada Nuh, dan Ibrahim, dan Musa, dan
Isa ibni Maryam. Dan Kami telah mengambil daripada mereka, perjanjian yang
teguh.
[8]
Agar
Dia menyoal orang-orang yang benar mengenai kebenarannya. Dan Dia telah menyediakan
untuk orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[9]
Wahai
orang-orang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu,
ketika kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka
angin ribut dan angkatan tentera yang kamu tidak melihatnya (malaikat). Dan
Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.
[10]
Ketika
mereka datang kepada kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir kamu. Dan
ketika pandangan mata kamu tidak berketentuan arah dan hati pula menjadi resah
gelisah, dan kamu masing-masing membuat sangkaan terhadap Allah dengan
berbagai-bagai sangkaan.
[11]
Pada
saat itulah diuji orang-orang beriman, dan digoncangkan dengan goncangan yang
amat dahsyat.
[12]
Dan
ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang terdapat penyakit di dalam hatinya
berkata “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipu daya
belaka”
[13]
Dan
ketika segolongan di antara mereka berkata “Wahai penduduk Yathrib, tidak ada
tempat bagi kamu, maka kembalilah” Dan sebahagian dari mereka meminta izin
kepada Nabi sambil berkata “Sesungguhnya rumah-rumah kami terdedah” Padahal ia
tidaklah terdedah. Mereka hanya hendak melarikan diri.
[14]
Dan
kalaulah ia diserang dari segenap penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling
tadah, sudah tentu mereka akan melakukannya juga, dan mereka tidak akan
bertangguh mengenai itu melainkan sebentar sahaja.
[15]
Padahal
sesungguhnya, mereka telah mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu
mereka tidak akan berpaling undur. Dan perjanjian Allah itu akan ditanya.
[16]
Katakanlah
“Kalaulah kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan, maka perbuatan
melarikan diri itu tidak sekali-kali akan mendatangkan faedah kepada kamu. Dan
tidak juga kamu akan menikmati kesenangan hidup melainkan sebentar sahaja”
[17]
Katakanlah
“Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada Allah jika Dia hendak menimpakan
bala bencana kepada kamu, atau jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu?” Dan
mereka tidak akan beroleh pelindung atau penolong pun selain Allah.
[18]
Dan
Allah mengetahui akan orang-orang yang menghalangi di antara kamu, dan
orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya “Marilah bersama kami” sedang
mereka tidak turut berperang melainkan sedikit sahaja.
[19]
Mereka
bersikap kedekut terhadap kamu. Namun apabila datang ketakutan (ancaman musuh),
engkau akan melihat mereka memandangmu dengan keadaan mata mereka
berpusing-pusing seperti orang yang pitam dari kematian. Kemudian apabila
hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil
kedekut untuk melakukan kebaikan. Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan
amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[20]
Mereka
menyangka bahawa tentera Al-Ahzab itu belum pergi. Dan kalaulah tentera
Al-Ahzab itu kembali semula, tentulah mereka suka kiranya mereka berada jauh di
padang pasir bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan khabar
mengenai kamu. Dan kalaulah juga mereka bersama-sama kamu, mereka tidak akan
turut berperang melainkan sebentar sahaja.
[21]
Demi
sesungguhnya bagi kamu, telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan hari akhirat, dan
dia pula mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
[22]
Dan
pada masa orang-orang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka
“Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami, dan benarlah apa
yang dikatakan Allah dan RasulNya” Dan ia tidak menambahkan mereka melainkan
iman dan penyerahan diri.
[23]
Di
antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar pada apa yang
telah dijanjikannya kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah selesai
menjalankan janjinya (syahid), dan di antaranya juga ada yang menunggu giliran.
Dan mereka tidak mengubah sedikitpun (janji).
[24]
Agar
Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa
orang-orang munafik jika Dia kehendaki, atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[25]
Dan
Allah telah menghalau kembali orang-orang yang kafir itu dengan keadaan mereka
geram. Mereka tidak beroleh sebarang kebaikan pun. Dan cukuplah Allah bagi
orang-orang yang beriman dalam peperangan. Dan Allah Maha Perkasa, lagi Maha
Kuasa.
[26]
Dan
Dia menurunkan golongan Ahli Kitab yang membantu mereka (tentera musuh) dari
benteng-benteng mereka, setelah diisikan ke dalam hati mereka perasaan gerun.
Sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
[27]
Dan
Dia membuatkan kamu mewarisi tanah-tanah mereka, rumah-rumah mereka dan harta
benda mereka, dan tanah-tanah yang belum kamu jejaki. Dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[28]
Wahai
Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan
dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan mut'ah kepada kamu, dan
melepaskan kamu dengan pelepasan yang sebaik-baiknya.
[29]
Dan
sekiranya kamu semua mahukan Allah dan RasulNya dan negeri akhirat, maka
sesungguhnya Allah menyediakan untuk orang-orang yang berbuat baik di kalangan
kamu, pahala yang besar”
[30]
Wahai
isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan suatu perbuatan keji
yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[31]
Dan
sesiapa di antara kamu semua yang tetap taat kepada Allah dan RasulNya dan
mengerjakan amal yang baik, Kami akan berikannya pahala amalnya itu dua kali,
dan Kami sediakan pula baginya limpah kurnia yang mulia.
[32]
Wahai
isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan lain
sekiranya kamu tetap bertakwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata manja
kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang mempunyai penyakit
di dalam hatinya. Namun berkatalah dengan kata-kata yang sopan.
[33]
Dan
hendaklah kamu duduk diam di rumah kamu dan janganlah kamu menampilkan diri
sepertimana penampilan orang-orang Jahiliah zaman dahulu. Dan dirikanlah
sembahyang dan tunaikanlah zakat. Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud menghapuskan perkara-perkara yang akan
mencemarkan diri kamu wahai Ahlul Bait dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya.
[34]
Dan
ingatlah akan apa yang dibacakan di rumah kamu dari ayat-ayat Allah dan hikmah
pengetahuan (hadis-hadis). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha
Mendalam pengetahuanNya.
[35]
Sesungguhnya
lelaki Islam dan Perempuan Islam, lelaki beriman dan Perempuan beriman, lelaki
yang taat dan Perempuan yang taat, lelaki yang benar dan Perempuan yang benar,
lelaki yang sabar dan Perempuan yang sabar, lelaki yang merendah diri dan
Perempuan yang merendah diri, lelaki yang bersedekah dan Perempuan yang
bersedekah, lelaki yang berpuasa dan Perempuan yang berpuasa, lelaki yang
memelihara kehormatannya dan Perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki
yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya dan Perempuan yang mengingati, Allah
telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar.
[36]
Dan
tidaklah patut bagi orang-orang beriman, lelaki mahupun Perempuan, apabila
Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu, mempunyai hak
mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah dan RasulNya,
maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.
[37]
Dan
ketika engkau berkata kepada seorang yang telah dikurniakan oleh Allah nikmat
kepadanya dan engkau juga telah berbuat baik kepadanya “Janganlah menceraikan
isterimu dan bertakwalah kepada Allah” Sambil engkau menyembunyikan di dalam
hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya jua. Dan engkau pula takut kepada
(cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Kemudian
setelah Zaid mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami
kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang
beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka apabila
mereka telah menyelesaikan keperluan terhadap mereka (isteri). Dan sememangnya
perkara yang dikehendaki oleh Allah itu tetap akan berlaku.
[38]
Tidak
ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam apa yang telah
ditetapkan oleh Allah baginya. Sebagai suatu Sunnatullah, yang berlaku juga kepada
orang-orang yang telah lalu. Dan perintah Allah itu adalah suatu ketetapan yang
pasti berlaku.
[39]
(Mereka)
adalah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah. Dan mereka takut kepadaNya,
dan mereka tidak takut kepada sesiapapun melainkan Allah. Dan cukuplah Allah
sebagai Penghitung.
[40]
Bukanlah
Muhammad itu ayah (sebenar) kepada sesiapapun dari kalangan kamu, tetapi dia
adalah Rasul Allah dan penutup Nabi-nabi. Dan Allah Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai
orang-orang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya.
[42]
Dan
bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[43]
Dialah
yang memberikan rahmat kepada kamu, dan malaikatNya juga, agar mengeluarkan
kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dan Dia sentiasa Melimpah-limpah
rahmatNya kepada orang-orang yang beriman.
[44]
Sambutan
penghormatan yang akan diberikan kepada mereka semasa menemuiNya “Selamat
sejahtera” Dan Dia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.
[45]
Wahai
Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskanmu sebagai saksi, dan pembawa berita gembira
dan juga pemberi amaran.
[46]
Dan
juga sebagai penyeru yang mengajak kepada Allah dengan izinNya. Dan sebagai
lampu yang menerangi.
[47]
Dan
sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang beriman, bahawa
mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar daripada Allah.
[48]
Dan
janganlah engkau turuti kehendak orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik, dan
abaikanlah sahaja celaan mereka, dan berserahlah kepada Allah. Dan cukuplah
Allah menjadi Pelindung.
[49]
Wahai
orang-orang beriman, apabila kamu mengahwini Perempuan-Perempuan beriman,
kemudian kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tidak ada masa
idah atas mereka yang perlu kamu hitung. Oleh itu, berikanlah mut’ah kepada
mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang sebaik-baiknya.
[50]
Wahai
Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau
berikan mas kahwinnya, dan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu (hamba-hamba
perempuan) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu, dan anak-anak
perempuan saudara lelaki ayahmu dan anak-anak perempuan saudara perempuan
ayahmu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki emakmu dan anak-anak perempuan
saudara perempuan emakmu yang telah berhijrah bersama-sama kamu, dan mana-mana
perempuan beriman yang menyerahkan dirinya kepada Nabi sekiranya Nabi berminat
mengahwininya. Perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, dan
tidak bagi orang-orang beriman. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang Kami
telah wajibkan kepada mereka mengenai isteri-isteri mereka dan apa yang
dimiliki oleh tangan kanan mereka agar tidak menjadi keberatan bagimu. Dan Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[51]
Engkau
boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki di kalangan mereka dan engkau
boleh mendatangi sesiapa yang engkau kehendaki. Dan sesiapa yang engkau hendak
datanginya kembali dari kalangan mereka yang engkau telah sisihkan itu, maka
tidaklah menjadi kesalahan bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk
menenteramkan pandangan mereka, dan menjadikan mereka tidak bersedih hati, dan
menjadikan mereka redha akan apa yang engkau berikan kepada mereka semua. Dan
Allah sedia mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu. Dan Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[52]
Tidak
halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan lain sesudah itu, dan juga tidak
boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri baru sekalipun engkau tertarik
pada kecantikan mereka, melainkan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu. Dan Allah
sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[53]
Wahai
orang-orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi melainkan kamu diberi
keizinan untuk menghadiri jamuan, tanpa menunggu-nunggu masa sajiannya. Tetapi
apabila kamu dijemput, maka masuklah. Kemudian setelah kamu makan maka
hendaklah bersurai tanpa melanjutkan perbualan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengganggu Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakannya) kepada kamu,
sedang Allah tidak malu dari menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta
sesuatu yang harus diminta daripada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah
kepada mereka dari balik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu
dan hati mereka. Dan kamu tidak dibenarkan langsung menyakiti Rasul Allah dan tidak
juga mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudahnya. Sesungguhnya yang
demikian itu amatlah besar di sisi Allah.
[54]
Sekiranya
kamu menyatakan sesuatu atau kamu menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
[55]
Tidak
ada salahnya bagi mereka (isteri-isteri Nabi tanpa tabir) terhadap ayah-ayah
mereka, anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelaki saudara lelaki
mereka, anak lelaki saudara perempuan mereka, perempuan Islam mereka, dan apa
yang dimiliki oleh tangan kanan mereka. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya
Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[56]
Sesungguhnya
Allah dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang beriman
berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penuh
penghormatan kepadanya.
[Nabi
Muhammad s.a.w]
[57]
Sesungguhnya
orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya,
Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka
azab seksa yang menghinakan.
[58]
Dan
orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman lelaki mahupun perempuan untuk
yang lain dari apa yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul
tuduhan dusta dan dosa yang nyata.
[59]
Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan
beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang
demikian lebih sesuai agar mereka dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[60]
Sekiranya
orang-orang munafik, dan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya, dan
orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di bandar itu tidak berhenti,
nescaya Kami akan mendesakmu untuk memerangi mereka. Sesudah itu mereka tidak
lagi menjadi tetanggamu melainkan sebentar sahaja,
[61]
Dalam
keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh
habis-habisan.
[62]
Sebagai
Sunnatullah bagi orang yang telah lalu. Dan engkau tidak sekali-kali akan
mendapati sebarang perubahan pada Sunnatullah itu.
[63]
Manusia
bertanyakan kepadamu mengenai Saat. Katakanlah “Sesungguhnya pengetahuan
mengenainya hanyalah di sisi Allah” Dan tahukah kamu, boleh jadi Saat itu telah
hampir.
[64]
Sesungguhnya
Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang
marak menjulang,
[65]
kekal
mereka di dalamnya selama-lamanya. Mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang
akan menjadi pelindung mahupun penolong.
[66]
Hari
muka mereka dibolik-balikkan di dalam neraka, mereka berkata “Alangkah baiknya
kalaulah kami dahulu taat kepada Allah dan taat kepada Rasul Allah”
[67]
Dan
mereka berkata lagi “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi
kehendak para pemimpin dan para pembesar kami, dan mereka telah menyesatkan
kami dari jalan (yang benar).
[68]
Wahai
Tuhan kami, timpakanlah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah
mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”
[69]
Wahai
orang-orang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah
mencaci Musa, lalu Allah membersihkannya dari apa yang mereka lontarkan
itu. Dan dia adalah seorang yang mulia di sisi Allah.
[70]
Wahai
orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan ucapkanlah perkataan yang
benar,
[71]
Nescaya
Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu, dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan sesiapa
yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya
mencapai pencapaian yang besar.
[72]
Sesungguhnya
Kami telah menawarkan amanah kepada langit dan bumi dan gunung-ganang, tetapi
mereka enggan memikulnya kerana bimbang terhadapnya. Namun manusia sanggup pula
memikulnya. Sesungguhnya dia itu amat zalim, lagi jahil.
[73]
Akibatnya
Allah akan menyeksa lelaki dan perempuan munafik, berserta lelaki dan perempuan
yang menyekutukan (Allah). Namun Allah menerima taubat lelaki dan perempuan
yang beriman. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.